HIBURAN

Bila Badrul Bicara: Real Love Has No End!

gempak
Badrul Hashim
29/03/2019
04:48 MYT
Sponsor Banner
Bila Badrul Bicara: Real Love Has No End!
Entah! Banyak kali saya menulis tentang keluarga ini. Banyak kali. Kalau nak kata saya kenal mereka secara dekat, tidak sama sekali. Saya lebih mengenali mereka melalui posting yang mereka kongsikan di Instagram masing-masing.
Bosan? Maaflah, kerana mungkin saya sangat tertarik dengan cara mereka mendidik anak-anak, cara mereka merapatkan hubungan antara keluarga serta cara mereka berkongsi rasa, cinta dan kegembiraan.
Malam tadi saya terkesan dengan apa yang dikomen oleh seorang netizen di Instagram Norman Hakim. Komen tersebut membuatkan saya ingin menukar topik bicara saya tentang mereka.
"Semuanya bermula dari akhlak yang baik. Bermula dari ketua keluarga yang pandai membimbing isteri dan anak-anak. Bermula dari sifat menghormati tak kira tua or muda. Bermula dari belajar atas semua kesilapan dan berubah ke arah yang lebih baik. Bermula dari istiqamah. Maka lahirlah keluarga yang bahagia penuh dengan kasih sayang lillahitaala. Alhamdulillah"
Saya terkedu! Saya dapat rasakan kebenaran pada setiap patah perkataan yang ditulis. "Belajar dari atas semua kesilapan dan berubah ke arah yang lebih baik." Wow! That hit me right in the heart!
Keluarga Norman dan Memey serta keluarga Faizal dan Abby membuktikan pada saya tidak ada yang mustahil kalau kita terus mencuba untuk memperbaiki diri. Tidak kiralah bila dan siapa yang berkorban perasaan atau sebagainya, tetapi mereka berkorban demi kebaikan.
Tipulah kalau dikatakan tidak ada cabaran. Tidak ada rasa terguris atau bahasa sekarang ini, sentap menyentap. Tetapi mereka sahut cabaran tersebut dan mereka teruskan hidup dengan penuh kegembiraan.
Sambut hari lahir sama-sama, bercuti sama-sama, tengok wayang sama-sama, semuanya 'mencuri' masa masing-masing untuk memberikan ruang untuk bersama-sama. Itu pengorbanan!
Mungkin Faizal atau Jai, suami kepada Abby tidak begitu menonjol kerana dia bukan dari bidang seni, tetapi pengorbanan yang dilakukannya tidak ternilai. Malah saya rasa semuanya ada pengorbanan masing-masing.
Ya! Kata kuncinya, pengorbanan.
Kita mungkin boleh kutip sesuatu daripada keluarga ini. Jangan cemburukan mereka, tetapi lakukan pengorbanan untuk keluarga kita. Rapatkan hubungan dengan ibu bapa, adik beradik, ipar duai, anak beranak dan sesiapa sahaja dalam keluarga.
Tiada manusia yang sempurna, tetapi kita boleh mencuba menjadi yang paling baik dalam hidup kita.
Saya pernah berharap dapat berjumpa mereka semua sekeluarga, sekadar berbual dan bertanya khabar. Insya-Allah ada rezeki. Doa saya buat semua semoga kita beroleh kejayaaan dunia dan akhirat.
Dan saya pasti, saya akan menulis lagi tentang keluarga yang di rahmati Allah SWT ini.
Jumpa lagi!
Bila Badrul Bicara
Kredit Gambar: Instagram
Pandangan dan pendapat penulis adalah hasil karya asli penulis dan tidak mewakili serta tidak mencerminkan pandangan dan pendapat dari Gempak. Gempak tidak bertanggungjawab atas sebarang kesilapan atau kesalahan kandungan artikel ini.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Most Wanted Awards 2024