HIBURAN
"Kalau Nak Jadi Suami Saya Kena Cantik, Cerdik Dan Terdidik" - Sharifah Khasif Idam Calon Suami
Tiga tahun menjalani kehidupan tanpa suami, Johan Qariah Tilawah Al-Quran 2009, Sharifah Khasif Fadzillah Syed Badiuzzaman kembali terbuka hati untuk menerima kehadiran insan bernama lelaki.
Sharifah Khasif yang ditemui pada sidang media Konsert Makan Malam 'Qasidah Night' semalam, menjelaskan dia sebenarnya tidak suka bersendirian, malah mengimpikan kehidupan bersama suami.
Jelasnya, ia juga sebagai langkah untuk mengelakkan pelbagai fintah terhadap dirinya.
"Terus terang ketika ini masih tiada lagi lelaki yang berjaya menawan hati saya walaupun ada yang cuba-cuba. Jodoh kan ketentuan Allah SWT," katanya.
Menurut Sharifah, terdapat beberapa kriteria lelaki yang sebenarnya mampu membuatkannya tergerak hati untuk menerimanya sebagai suami.
"Pertama sekali kena cantik. Cantik di sini bukanlah hanya rupa paras semata-mata sebaliknya akhlak juga memainkan peranan. Kalau tiada ijazah, master, phd, semua bukan satu halangan untuk saya suka seseorang. Paling penting akhlaknya.
"Kedua adalah cerdik dan bijak. Bijak itu bermaksud bijak berinteraksi, bijak berkawan, bijak menyelasaikan masalah dan bukannya meminta orang lain selesaikan," katanya.
Tambahnya lagi, sifat setia juga antara yang perlu pada calon suaminya.
"Bukan saya kata setia tu tak boleh berkawan dan bergaul tetapi biarlah ada batasnya. Tahu dengan siapa berkawan dan bukannya melebih batas.
"Akhir sekali adalah terdidik dari segi agama. Jika boleh biarlah suami itu pandai berbahasa arab kerana saya jika di rumah lebih selesa berbahasa arab," katanya yang akan berganding bersama Raihan Dan Datuk Jamal Abdillah menerusi Konsert Makan Malam 'Qasidah Night', April Ini.

Untuk pengetahuan anda, Sharifah Khasif dan bekas suaminya Datuk Seri Mohammad Hizal Othman telah sah bercerai pada 20 April 2016.
Hizal melafazkan cerai terhadap Sharifah Khasif di Mahkamah Rendah Syariah, Jalan Duta Kuala Lumpur selepas mereka berdua gagal menyelamatkan rumah tangga yang dibina pada tahun 2012.
Must-Watch Video