Sekilas
- Kamal Adli berkongsi pengalaman sukar ketika penggambaran filem Takluk 2: OP Daulat, di mana dia berada pada titik terendah dalam hidupnya selepas urusan mahkamah.
- Dia mengatasi perasaan sedih dengan bergurau dan berusaha kekal fokus demi wataknya, walaupun menghadapi masalah peribadi termasuk perceraian baru-baru ini.
- Filem Takluk 2: OP Daulat yang diinspirasikan daripada Operasi Daulat 2013, mula ditayangkan di pawagam seluruh negara pada 26 November ini dengan kerjasama ATM dan PDRM.
Menonton filem Takluk 2: OP Daulat mengimbau kembali detik sukar buat pelakon Kamal Adli yang mengakui berada pada titik terendah dalam hidupnya ketika menjalani penggambaran filem berkenaan.
Kamal berkata, dia masih ingat bagaimana dia terus bertolak ke Kuantan selepas selesai urusan di mahkamah bagi menyambung penggambaran pada malam yang sama.
“Habis sahaja tengah hari itu (di mahkamah) dan selepas berjumpa rakan-rakan media, saya terus bergerak ke Kuantan untuk masuk ke set pada malam itu juga.
“Saya sendiri buntu fikirkan bagaimana cara hendak atasi perasaan itu dan berdepan dengan semua orang di lokasi penggambaran.
“Tapi, saya gembira dan bersyukur apabila seluruh pasukan produksi serta rakan pelakon melayan saya seperti biasa seolah-olah tiada apa yang berlaku,” katanya ketika ditemui pada malam gala dan tayangan perdana filem itu di GSC IOI City Mall, Putrajaya, malam tadi.
Ditanya bagaimana dia mengatasi perasaan sedih di set, Kamal berkata, dia memilih untuk bergurau dengan rakan sekerja kerana tidak mahu mereka terpaksa menjaga hatinya.
“Kadang-kadang ada juga rasa terkilan apabila bersendirian, tetapi saya tak boleh melayan perasaan itu kerana tak mahu orang lain di set pula yang terpaksa menjaga hati saya.
“Jadi, saya tukar cara dengan menjadi individu yang membuat kecoh dan bergurau di lokasi, walaupun dalam hati hanya Tuhan yang tahu.
“Saya memang sangat menantikan filem Takluk 2: Op Daulat ini dan tak mahu masalah peribadi mengganggu fokus serta watak saya,” ujarnya.
Terdahulu, Kamal dan pelakon Uqasha Senrose sah bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada 12 Januari lalu.
Mereka mendirikan rumah tangga pada 4 November 2021 di Janda Baik, Pahang dan dikurniakan seorang anak perempuan yang dilahirkan pada 27 April 2024.
Untuk rekod, Takluk 2: OP Daulat merupakan kesinambungan Takluk: Lahad Datu yang ditayangkan pada 2024.
Filem itu diinspirasikan daripada Operasi Daulat pada 2013 dan mengangkat fasa seterusnya dalam konflik pencerobohan di Lahad Datu, Sabah. Pembikinannya mendapat kerjasama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Selain Kamal, filem yang mula ditayangkan di pawagam seluruh negara pada 26 November ini turut dibintangi Syafiq Kyle, Datuk Remy Ishak, Fadlan Hazim, Datuk Eman Manan, Nas-T, Luqman Hafidz, Taufiq Hanafi, Anas Ridzuan dan Sara Ali.