Skip to main content

Budaya Popular

"Sedih Bila Hanya OKU Tengok Filem OKU" - Penerbit Filem Garang

garang-tak-laku-header.jpg
Penerbit filem Orang Kurang Upaya (OKU), Garang, Dakshina Muriti meluahkan rasa kesal terhadap sambutan filem pertamanya yang kurang mendapat sambutan.

Kata Dakshina, lebih menyedihkan apabila penonton yang berkunjung ke pawagam untuk menonton filem Garang majoritinya terdiri daripada OKU sahaja.

"Saya sedih apabila majoriti yang menonton filem berkisarkan OKU ini dalam kalangan OKU saja,” luahnya.

Dakshina ketika dihubungi berkata, dia berasa terkilan apabila sambutan filem yang diinspirasi daripada kisah benar itu menerima jumlah penonton yang rendah. 

"Inisiatif filem ini adalah bagi mencari dana untuk membina sebuah asrama baru untuk pelatih OKU di Bengkel Sampul Surat di Batu Pahat, Johor.

"Bagaimanapun sejak ditayangkan 5 Disember lalu, tidak ramai yang menyokong filem ini sedangkan filem ini mempunyai misi yang besar untuk membantu golongan OKU.

"Malah jalan ceritanya juga cukup menarik apabila ia mengisahkan kisah hidup seorang bekas atlit paralimpik kebangsaan, Izam dalam acara sukan lumba kerusi roda," kata penerbit Sakti Films Sdn Bhd itu lagi.

Sementara itu, salah seorang pelakon OKU Osman Omar yang kali pertama berlakon filem menyeru sokongan daripada semua pihak terutamanya Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk membantu mempromosikan filem Garang ini.

"Jika selama ini warga OKU menyokong filem orang normal, mengapa tidak kali ini masyarakat Malaysia menunjukkan sokongan kepada filem OKU yang memberi banyak mesej dan pengajaran ini.

"Filem ini bila-bila saja boleh dihentikan tayangan sekiranya tiada sambutan daripada penonton. Jika ia dihentikan maka terbantutlah misi untuk membantu golongan OKU.

"Saya juga mohon sokongan daripada pihak kerajaan untuk membantu filem ini kerana perjalanan yang kami tempuh untuk menyiapkan filem ini bukan mudah," katanya.

Filem yang menelan belanja  sebanyak RM1.5 juta termasuk pembikinan dan  pemasaran itu dibintangi barisan pelakon hebat seperti Pablo Amirul, Ahmad Maembong (OKU Fizikal), Osman Omar (OKU Fizikal), John Elijah (OKU Fizikal), Chacha Maembong, Wan Hanafi Su, Jalil Hamid, Izam Abdul Hamid (OKU Fizikal) dan Shukur Abd Hamid (OKU Fizikal).

Garang mengisahkan tentang Izam, seorang atlit paralimpik yang banyak mewakili negara dalam acara sukan lumba kerusi roda.

Satu insiden yang berlaku pada Izam telah menimbulkan sengketa antara Jasmin dan Reza sehingga memaksa Jasmin mendapatkan pertolongan dari tiga sahabat lamanya iaitu Kamal, Rashid dan Macha. 

Filem Garang telah mula ditayangkan pada 5 Disember lalu.

Advertisement

Must-Watch Video