HIBURAN
Siti Aafiyah Khalid Belum Ada Instagram - Siti Nurhaliza
Selepas mengumumkan nama sebenar puteri sulungnya, Datuk Seri Siti Nurhaliza memberitahu dia masih belum membuka akaun Instagram untuk anaknya.
Kata Siti, 39, dia akan mempertimbangkan untuk membuka akaun media sosial anaknya namun enggan menjadikan anaknya mangsa populariti.
"Saya tidak mahu mendidik anak saya sampai fokus untuk menjadi selebriti, saya mahukan dia membesar secara normal seperti kanak-kanak lain.
"Sebarang rezeki sama ada rancangan realiti sendiri atau akaun media sosial saya perlu bincangkan terlebih dahulu dengan suami.
"Kalau ada Instagram dia, saya sendiri yang akan umumkan nanti. Sehingga kini, segala perkembangan saya akan kongsikan menerusi akaun media sosial rasmi saya sahaja," katanya kepada Astro Gempak.
Siti ditemui pada majlis Maulid Nabi, Akikah dan Tahnik di kediamannya di Bukit Antarabangsa, Kuala Lumpur sempena usia tujuh hari Siti Aafiyah.
Selepas dilahirkan lagi pelbagai akaun media sosial Instagram, Facebook dan Twitter yang menggunakan pengenalan diri puteri sulung Siti dicipta oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Malah, tidak mustahil selepas pengumuman Siti malam tadi, akan wujud akaun media sosial baharu pula.
Sementara itu, dalam perkembangan lain, Siti akan berehat selama enam bulan sebelum kembali aktif dalam bidang seni.
Teks oleh: Amri Hassan
Must-Watch Video