Sekilas
- Vokalis kumpulan Spider, Tam, menyeru peniaga supaya tidak menjual barangan cetak rompak kerana ia menjejaskan hasil kerja dan kreativiti pereka merchandise.
- Tam berkongsi pengalaman konsert yang terjejas akibat cetak rompak menyebabkan penganjur melambatkan penjualan merchandise untuk elak reka bentuk ditiru.
- Spider akan mengadakan konsert Spider Sengat Selatan pada 30 Januari 2027 di EduCity Sports Complex, Johor dengan tiket dijual mulai 26 November 2026 melalui laman web rasmi.
Vokalis kumpulan Spider, Tam meminta orang ramai terutama peniaga agar tidak menjual barangan cetak rompak kerana perbuatan itu boleh menjejaskan hasil kerja dan kreativiti pereka ‘merchandise’.
Menurut Tam, tindakan tersebut bukan sahaja merugikan pihak yang menghasilkan reka bentuk merchandise, malah tidak menghargai usaha mereka yang telah menghabiskan masa dan tenaga untuk menghasilkan sesuatu produk.
“Mereka ini berniaga jadi bila ada berlaku cetak rompak, hasil titik peluh orang yang design ini akan sia-sia begitu sahaja. Kau kata kau minat tetapi bak kata Iman Tang niat tak menghalalkan cara.
“Orang bersusah payah buat design, kau ambil begitu sahaja duit itu. Kena ada bertimbang rasa. Kalian bukan sahaja sokong kami tetapi sokong kreativiti orang belakang tabir dan kru kita yang berusaha memikirkan design serta material,” katanya kepada Gempak.
Berkongsi pengalaman, Tam berkata kejadian cetak rompak itu yang menyebabkan kebanyakkan pihak penganjur masa kini mengambil langkah untuk melambatkan penjualan merchandise bagi mengelakkan reka bentuk mereka ditiru.
“Pernah ketika nak buat konsert dah ada orang jual merchandise kami. Ibarat kau post satu design atau seorang pergi beli selepas itu pergi print. Macam-macam mereka buat untuk hasilkan cetak rompak. Pengalaman itu sangat tidak best.
“Sejak dari itu ramai EO tak mahu buat merchandise awal. Disebabkan hal ini EO hold dulu. Tetapi cara ini ada kekurangan pula, mereka akan buat banyak tetapi nanti orang baru je datang pukul 5 petang dah habis,” ujarnya.
Dalam masa sama, pelantun lagu Aladin itu berkata dia tidak akan menegur sendiri peniaga yang menjual barangan cetak rompak kerana berpendapat perkara tersebut lebih sesuai diserahkan kepada pihak yang bertanggungjawab.
Bagaimanapun, Tam berharap setiap pihak memainkan peranan masing-masing dan mempunyai kesedaran untuk menghormati hasil kerja orang lain.
“Kalau saya, saya tak boleh buat tegur secara direct sebab nampak buruk kat saya. Itu hal yang lain. Macam contoh, orang kan selalu tanya pasal AI. Apa pandangan saya tentang AI kan? Saya akan jawab saya raikan sahaja tetapi di sudut undang-undang, biarlah orang yang tertentu buat hal buat kerja tu.
“Janganlah saya nak campur aduk, saya lah nak jadi pegawai itu, saya juga jadi artis itu, sayalah polis suruh tutup kedai tepi jalan. Dia jadi macam kelakar lah.
“Semua orang ada peranan masing-masing termasuklah peminat, kru untuk jayakan sesebuah konsert bersama-sama. Kena ada common sense,” kongsinya.
Dalam perkembangan lain, Spider bakal menggegarkan EduCity Sports Complex, Iskandar Puteri, Johor menerusi konsert Spider Sengat Selatan pada 30 Januari 2027.
Peminat boleh mendapatkan tiket mengikut kategori harga seperti berikut:
- RM88 (Pontian)
- RM128 (Mersing)
- RM168 (Pasir Gudang)
- RM188 (Batu Pahat)
- RM258 (Kota Tinggi)
- RM288 (Muar)
Tiket boleh dibeli menerusi www.ticket2u.com.my/sengatspider bermula 26 November 2026, Khamis, jam 3 petang.