Jenama tudung terkenal TudungPeople melancarkan koleksi tudung terbaru ‘Limited Edition Ocean’ yang dihasilkan daripada sisa-sisa bahan plastik buangan.

Koleksi dari bahan buangan ini diilhamkan daripada pengasas dan pengarah kreatif TudungPeople, Fazrena Aziz sewaktu bercuti ke Pulau Redang pada tahun lepas.



“Saya teruja pertama kali ke Pulau Redang pada tahun 2019. Ketika ‘island hopping’, saya enjoy melihat batu karang yang berwarna warni dan sekumpulan penyu berenang. Tapi di sebalik keindahan itu, saya lihat banyak sisa plastik di sekitar persisiran pantai dan ada juga yang terapung di air. Memang kecewa dan sedih.

“Bila saya pulang ke pejabat, saya terus berkongsi pengalaman bersama team dan berbincang idea untuk menyelamatkan alam sekitar. Langkah pertama adalah dengan meningkatkan tahap kesedaran pengguna dan dengan itu lahirlah idea untuk menggunakan tudung kami sebagai medium untuk menyampaikan pesanan tersebut,” jelas Fazrena ketika dihubungi Gempak.

Koleksi yang hadir dalam 10 shawl bercorak dalam tema buih, karang laut, rumpai laut, ombak dan pelbagai lagi elemen laut, setiap satu shawl menggunakan lapan botol plastik yang dikutip daripada lautan serta tapak pelupusan sampah.



“Projek istimewa tudung recycle ini telah mula diusahakan sejak pertengahan 2019 bersama Kloth Cares.

“Kami amat berharap mesej yang kami cuba sampaikan dalam projek ini iaitu ‘Save Our Ocean’ dapat diterjemah dan diterima dengan baik melalui penghasilan tudung ini.

“Kami juga berharap idea dan kebaikan tudung kitar semula ini akan menjadi inspirasi kepada jenama-jenama lokal lain dan memberi kesedaran kepada pengguna terhadap kesan sisa plastik kepada alam sekitar,” ujar Fazrena lagi.

Koleksi Limited Edition Ocean ini sudah boleh didapati secara dalam talian ataupun di butik TudungPeople bermula hari ini pada harga RM159.