10 tahun membuat kaji selidik daripada kisah sebenar yang terjadi kepada moyang sendiri, pengarah filem Death Railway 415KM (DR415), Surendhar Selvaraju optimis dengan naskhah yang bakal dibikin tahun hadapan.

Dengan sasaran bajet sebanyak RM3 juta, filem yang akan menjalani penggambaran di sekitar kawasan estet getah dan pedalaman itu akan menyuntik lebih semangat patriotik kepada penonton.

"80 peratus daripada jalan ceritanya adalah kisah sebenar yang berlaku kepada datuk kepada moyang saya suatu ketika dahulu sekitar tahun 1941 ketika dia berjaya menyelamatkan diri dari Jepun.

"Kisah itu sedih dan tragis dan ia diceritakan sendiri oleh nenek saya sekitar 10 tahun lalu. Selepas kematiannya, saya sendiri melakukan kaji selidik dan bertanya kepada individu yang pernah melalui zaman penjajahan Jepun untuk menggarap jalan cerita filem ini.

"Selain itu, saya akan menambah aspek-aspek komersial serta pembabitan pelakon lebih lapan orang pelakon cameo nanti," ujarnya kepada Gempak.

Surendhar ditemui pada majlis sidang media pelancaran judul filem DR415 di Finas, Hulu Kelang baru-baru ini.

Hadir bersama beberapa pelakon utama filem DR415 antaranya Kinjo yang akan melakonkan watak General Yamashita, Beramen (Sumo), Abu Baker (Singh), Maran (Narayanan) dan Vishwa (Murugesan).



Berkongsi tentang pemilihan pelakon DR415 kata Surendhar, dia tidak meletakkan aspek pelakon popular untuk 'menjual' ceritanya.

"Saya selesa dengan cara pengarahan saya selama ini dan saya percaya pada karakter dan pembawakan watak pelakon-pelakon pilihan saya.

"Malah, saya sendiri belajar tentang filem daripada semua aspek termasuklah suntingan, kamera dan pelbagai teknik lain untuk mempersiapkan diri sebagai pengarah filem ini sebelum mulakan penggambaran nanti," tambahnya.

Filem DR415 dijangka akan ditayangkan di pawagam pada 2024.