Sekilas
- Mahkamah Singapura menolak saman seorang wanita yang cedera selepas pemandu membrek mengejut untuk elak ayam melintas jalan.
- Hakim memutuskan pemandu tidak bertanggungjawab kerana tiada tindakan lain munasabah dalam situasi tersebut.
- Wanita itu diarahkan membayar kos guaman sebanyak S$15,000 selepas saman ditolak.
Mahkamah di Singapura menolak saman yang difailkan seorang wanita berhubung kecederaan dialaminya selepas pemandu yang disewanya membrek secara mengejut bagi mengelak daripada melanggar seekor ayam yang melintas jalan.
Hakim memutuskan wanita itu merupakan “penumpang yang tidak bersalah”, namun pemandu berkenaan tidak bertanggungjawab terhadap kejadian tersebut, lapor CNA.
“Perbicaraan ini berlaku kerana seekor ayam melintas jalan,” tulis Hakim Daerah Jonathan Ng Pang Ern, menurut laporan The Straits Times pula.
“Undang-undang tidak mencari pihak yang bertanggungjawab atas setiap kerugian yang dialami. Dalam dunia yang tidak sempurna, terdapat kerugian yang perlu ditanggung seadanya,” katanya lagi.
Beliau turut menyifatkan insiden berkenaan sebagai sesuatu yang malang, namun tidak dapat dielakkan dalam kehidupan.
“Kejadian ini yang berpunca daripada seekor ayam melintas jalan, malangnya merupakan sebahagian daripada ketidaktentuan hidup yang tidak dapat dielakkan,” katanya.
Wanita berkenaan dikenal pasti sebagai Yvonne Chen Qianyun, yang menaiki sebuah kenderaan persendirian dipandu Tan Teng Kiat pada 19 Februari 2024.
Menurut laporan CNA, ayam berkenaan tiba-tiba melintas di hadapan kenderaan tersebut.
Tan mendakwa ayam itu terbang melintasi jalan, namun Chen mempertikaikan kenyataan berkenaan dan mengatakan haiwan itu sudah berada ‘di atas jalan’.
Malah, kedua-duanya turut tidak sependapat mengenai jenis ayam berkenaan.
Chen menyifatkannya sebagai ayam hutan, manakala pemandu berkenaan bertegas haiwan itu ialah ayam jantan.
Bagi mengelakkan pelanggaran, Tan turut menekan brek kenderaannya sehingga menyebabkan Chen mengalami kecederaan, namun jenis kecederaan yang dialaminya tidak dinyatakan dalam penghakiman.
Chen kemudian memfailkan saman terhadap Tan atas dakwaan kecuaian.
Bagaimanapun, Hakim Ng memutuskan bahawa tiada tindakan lain yang munasabah boleh dijangka dilakukan oleh Tan dalam keadaan tersebut.
Mahkamah akhirnya menolak saman berkenaan dan mengarahkan Chen membayar kos guaman sebanyak S$15,000 (RM47,828.35).