Selepas 10 hari ditayangkan Di Pawagam Rumah Anda, Astro First, filem komedi 18 Puasa Di Kampong Pisang berjaya meraih kutipan sebanyak RM3 juta.

Kejayaan ini sekaligus mencatat rekod sebagai filem tempatan paling laris di Astro First bagi tahun 2021 setakat ini.

Pengarahnya Mamat Khalid berterima kasih kepada semua penonton yang telah menyokong dan memberikan reaksi positif terhadap filem ini.



“Alhamdulillah, meskipun tayangan filem 18 Puasa Di Kampong Pisang dalam era normal baharu, namun atas sambutan positif penonton, filem ini mampu mencatatkan kutipan sebanyak itu dalam tempoh 10 hari.

“Terima kasih kepada semua penonton yang menerima baik filem ini. Insyallah, nantikan karya seterusnya eksklusif di Astro,” jelas Mamat menerusi satu kenyataan.

Sambutan daripada penonton ini menunjukkan keyakinan penonton kembali, terutamanya peminat filem Melayu untuk terus menyokong karya- karya tempatan tidak kira apa genre sekalipun.

Filem ini masih mengekalkan pelakon Kampong Pisang Bersiri-siri antaranya Barkoba (Bell Ngasri), Pak Din (Kazar Saisi), Pak Karim (Mat London), Pak Jabit (Aziz M Osman), Cik Purnama (Dewa Sapri), Daud M (Joey Daud) Faguha Jabar (Rashid Othman), Ahmad Yasin (Ahmad Yasin) dan Yah Kuchei (Afea Deana).

Selain itu, filem ini turut dimeriahkan dengan penampilan karakter istimewa seperti Tyson 1 (Namron), Tyson 2 (Jaafar Onn), Kiambang (Siti Elizad Mohamad Sharifuddin), Ustaz Kazim (Datuk Ustaz Kazim), Ayahanda Rani Kulop (Rani Kulop), Manap Sengau (Yeop Hitler), Penjaga Neraka (Man Raja Lawak) dan ramai lagi.

Filem 18 Puasa Di Kampong Pisang mengisahkan sekumpulan penduduk Kampong Pisang masih melakukan kemungkaran di bulan Ramadan.

Ketika Barkoba menikmati makanan di siang hari dalam semak samun, dia telah didatangi si iblis yang membawanya kembali ke masa silam untuk mengimbau setiap tindak tanduk kesalahan yang dilakukan sepanjang hidupnya.

Tonton filem komedi sarat mesej ini Di Pawagam Rumah Anda, Astro First, saluran 480 mulai 15 April 2021.

Untuk melanggan sila ke saluran 480 atau anda juga boleh strim di Astro Go atau On Demand. Dengan hanya RM15, anda boleh menonton selama 48 jam (2 hari) secara berulang-ulang.