Berita
18 Tahun Menyanyi, Misha Omar Pertama Kali Cipta Karya Sendiri Dengan Judul Tanpa Rela
Dua hari sebelum ini, penyanyi Misha Omar sempat berkongsi video pendek dirinya sedang menjalani rakaman lagu.
Tidak menyatakan secara spesifik mengenai projek terbaharunya itu kecuali keterangan video yang antaranya berbunyi; "Tolong senyap, rakaman sedang berjalan", ia memaparkan aksi salah satu pemuzik yang terlibat di projek itu iaitu Ude.
Perkongsian itu kemudian membuat Gempak tergerak untuk bertanya kepada tuan punya badan adakah beliau sedang memberi indikasi segera muncul dengan material baharu.
"Ya, Misha Omar siap untuk mempersembahkan single terbaharunya pada bulan hadapan," ujar Misha saat dihubungi Gempak pada Selasa.
Penyanyi berusia 38 tahun itu kemudian berkongsi butiran lanjut. Beliau memberitahu setelah dua tahun membius peminat dengan Sampai Bila, kini tiba masanya untuk menyihir pendengar sekali lagi dengan lagu yang memberi banyak makna buat dirinya.
Diberi judul Tanpa Rela, single ini merupakan karya pertama Misha setelah 18 tahun menjadi penyanyi yang hanya mendendangkan sentuhan komposer tanah air.
Namun, itu tak bermakna dia mendabik dada dan berasa bijak untuk menghasilkan karya sendiri, tetapi Misha melihat ia sebagai sebuah evolusi dalam kariernya sebagai anak seni.
"Tanpa Rela adalah karya pertama sentuhan saya sejak 18 tahun menjadi penyanyi. Selama ini saya hanya menyanyikan karya orang, jadi saya mencabar diri sendiri untuk belajar keluar dari kepompong selesa dan menghasilkan karya sendiri.
"Saya kemudian meminta bantuan individu yang lebih mahir iaitu Sze Wan untuk memperbaiki dan mencantikkan karya Tanpa Rela," cerita pemenang Vokal Terbaik AJL 33 ini.
Bukan sekadar menjadi komposer, Misha juga sekali lagi mempamerkan kredibilitinya menumpahkan idea menulis sendiri lirik. Kali ini beliau berkolaborasi bersama dua lagi penulis iaitu Slen dan Zul.
"Ini juga menjadi pengalaman pertama saya bekerjsama dengan Slen dan Zul untuk lirik Tanpa Rela.
"Besar harapan saya Tanpa Rela dapat memenuhi standard dan mengubat kerinduan peminat terhadap karya saya.
"Doakan semoga perancangan untuk melancarkan lagu yang diedarkan Sony Music Entertainment ini akan berjalan mulus," tutup Misha.
Kredit Foto: Misha Omar
Instagram: @mishaomar
Must-Watch Video