Sekilas
- PU Riz menyeru umat Islam supaya mempertahankan kesucian agama terutama dalam ibadah solat tanpa menjadikan perkara asas sebagai bahan perdebatan yang boleh menimbulkan kekeliruan.
- Beliau mengingatkan supaya tidak membiarkan polemik berkaitan agama berlarutan sehingga menenggelamkan perkara baik dan menegaskan pentingnya menghormati batas pegangan agama masing-masing.
- PU Riz menegaskan Islam mempunyai kedudukan tinggi yang perlu dipelihara dan berharap semua pihak menghentikan polemik tidak berfaedah serta mengutamakan sikap saling hormat dalam hal agama.
Pendakwah bebas, Ustaz Muhammad Haris Mohd Ismail atau lebih dikenali sebagai PU Riz menyeru umat Islam agar bersama-sama mempertahankan kesucian agama, khususnya dalam perkara yang melibatkan ibadah solat.
Menurut PU Riz, perkara asas dalam ajaran Islam tidak seharusnya dipandang ringan atau dijadikan bahan perdebatan berpanjangan sehingga menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.
Malah, suami kepada selebriti Neelofa itu turut mengingatkan semua pihak agar tidak membiarkan polemik berkaitan agama terus berlarutan sehingga menenggelamkan perkara-perkara yang baik.
“Kita pelihara agama bersama, jangan biarkan perkara yang ada ini melarat, insya-Allah.
“Lama-kelamaan, rosaklah kita apabila perkara yang baik semuanya tidak lagi terlihat.
“Ini soal solat, tak perlu sibuk, tolonglah,” katanya.
Dalam pada itu, PU Riz menegaskan bahawa terdapat perkara yang tidak sewajarnya dipermainkan, terutama apabila menyentuh Allah SWT dan Rasulullah SAW yang menjadi asas pegangan umat Islam.
Beliau turut memetik firman Allah SWT dalam Surah al-Kafirun, ayat 6, yang membawa maksud, “Bagi kamu agama kamu dan bagiku agamaku.”
Menurutnya, ayat tersebut menjadi peringatan tentang kepentingan menghormati batas dan pegangan agama masing-masing.
Pada masa sama, PU Riz menegaskan bahawa Islam mempunyai kedudukan yang tinggi dan kesuciannya perlu sentiasa dipelihara.
“Islam ya‘lu wa la yu‘la ‘alayh (Islam itu tinggi dan tiada yang lebih tinggi daripadanya).
“Ini negeri majoriti Islam, tak perlulah sibuk, cukuplah, cukuplah,” tegasnya.

PU Riz turut berharap semua pihak dapat menghentikan polemik yang tidak membawa manfaat, selain mengutamakan sikap saling menghormati dalam perkara berkaitan agama.
Beliau juga mengingatkan umat Islam agar tidak membiarkan isu yang menyentuh asas keimanan dan ibadah menjadi punca kekeliruan serta perpecahan dalam masyarakat.