Sekilas
- Aghniny Haque, pelakon Indonesia, menerima Anugerah Khas Juri di FFM35 atas lakonan luar biasanya dalam filem Khadam.
- Finas menegaskan keputusan itu dibuat oleh panel juri tanpa campur tangan, dan pengiktirafan ini juga sebagai usaha merapatkan hubungan ASEAN.
- Finas merancang untuk memperkenalkan kategori khas filem ASEAN dalam FFM akan datang bagi menggalakkan persaingan serantau.
Lakonan aktres Indonesia, Aghniny Haque yang disifatkan luar biasa ketika bergandingan dengan pelakon tempatan dalam filem Khadam menjadi pertimbangan juri untuk memberikan Anugerah Khas Juri kepada aktres Indonesia itu pada Festival Filem Malaysia ke-35 (FFM35).
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Datuk Azmir Saifuddin Mutalib berkata, keputusan itu dibuat oleh panel juri yang berpandangan pelakon utama filem berkenaan wajar diberi pengiktirafan.
“Ini menunjukkan bahawa kita di pihak Finas saban tahun memang tak pernah terlibat dalam penjurian. Juri yang menentukan siapakah penerima Anugerah Khas Juri.
“Apabila kami dimaklumkan tentang perkara tersebut dan pihak juri memberikan justifikasi, lakonan Aghniny memang luar biasa bergandingan bersama pelakon kita.
“Bila mereka berbincang, mereka kata wajar diberi pengiktirafan kepada pelakon utama filem tersebut,” katanya ketika ditemui pada FFM35.
Ditanya mengenai pandangan pihak yang kurang bersetuju dengan pengiktirafan kepada pelakon luar negara, Azmir berkata, pelakon Malaysia seperti Bront Palarae turut pernah menerima pengiktirafan di luar negara.
“Sebenarnya pelakon kita pun ada yang dapat pengiktirafan di luar negara, macam Bront Palarae dan sebagainya.
“Jadi apa yang kita lihat kali ini, menerusi kerjasama yang dibincangkan dengan negara seperti Indonesia, Singapura, Filipina menerusi mesyuarat jaringan ASEAN, ini adalah kaedah untuk kita merapatkan hubungan dan membina rangkaian,” ujarnya.
Dalam pada itu, Azmir berkata, Finas sedang mempertimbangkan kategori khas untuk filem ASEAN pada edisi FFM akan datang apabila persediaan mencukupi.
“Bagaimana untuk kita menghubungkan negara-negara ASEAN? Mungkin melalui FFM ini kita jadi yang pertama. Insya-Allah tahun depan atau tahun mendatang apabila kita bersedia, kita akan wujudkan satu kategori khas untuk filem-filem ASEAN.
“Bila saya berbincang dengan negara-negara ASEAN lain menerusi AFAN, mereka pun menyatakan perkara yang sama. Kemungkinan besar negara mereka pun akan mengadakan format yang sama,” katanya.
Menurut Azmir, cadangan membuka ruang kepada penyertaan luar sudah dibincangkan sejak 2015. Beliau berpandangan peningkatan mutu pembikinan dan penceritaan filem tempatan dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini memberi ruang kepada Malaysia untuk bersaing di peringkat serantau.
“Kita tak boleh sekadar jadi ‘jaguh kampung’ semata-mata di peringkat domestik. Di sinilah kita mengiktiraf dan bersaing bersama. Bila kita sudah bersedia memperkenalkan kategori serantau atau ASEAN, kita akan bersaing dalam kategori tersebut,” katanya.
Untuk rekod, Aghniny membawakan watak Melor dalam Khadam, filem arahan Shamyl Othman yang turut dinobatkan sebagai Filem Terbaik FFM35.