HIBURAN
2 Dekad Bergelar Anak Seni, Amerul Affendi Tak Pernah Dapat ‘Job’ Pegang Watak Romantis - “Kebanyakkan Naskhah Saya Berlakon…”
Pelakon Amerul Affendi memberitahu dia menyimpan hasrat untuk memegang watak sebagai lelaki romantis yang tidak pernah dilakonkannya sepanjang dua dekad dalam dunia seni.
Menurut pemilik nama penuh Mohd Amerul Affendi Mohd Mawardi itu, peluang untuk memegang karakter sebegitu tidak pernah diterimanya namun menganggapnya ia sebagai cabaran yang perlu dilakukan untuk menguji kemampuan sebagai pelakon.
"Setakat ini, dalam dunia lakonan saya, masih belum dapat lagi karakter bercinta. Memang tiada (tawaran) langsung setakat ini. Kebanyakan naskhah saya berlakon banyak mengangkat isu kekeluargaan, pengorbanan dan hal lain.
"Bila tak pernah dapat, saya anggap itu antara cabaran sebagai pelakon. Nak cabar kemampuan diri berlakon filem atau drama cinta," katanya kepada Gempak.
Ameerul ditemui ketika malam gala filem Martabat Misi Berdarah yang berlangsung di GSC Cinema, Mid Valley Mall, Kuala Lumpur pada Selasa.
Enggan meletakkan sebarang harapan tinggi, pelakon berusia 38 tahun itu juga tidak kisah untuk digandingkan dengan mana-mana pelakon wanita sebagai heroin jika diberikan tawaran untuk filem bergenre cinta.
"Macam saya cakap sebelum ini, hantu pun saya okey. Sedihkan dengar? Sudah sampai tahap begitu," selorohnya.
Sebelum ini, Amerul dalam satu temu bual mengakui dia mengimpikan untuk berlakon dalam naskhah bergenre romantis.
Sementara itu, Amerul juga salah seorang pelakon dalam filem Martabat Misi Berdarah arahan pelakon Zahiril Adzin bersama pengarah Adrian Teh.
Naskhah tersebut yang mula ditayangkan 12 Jun turut dibintangi Fad Bocey, Shiqin Kamal, Nafiez Zaidi dan Elvina Chua.
Must-Watch Video