Sekilas
- Arja Lee meluahkan rasa kesal terhadap jenaka yang menyentuh busana Aina Abdul semasa malam anugerah berprestij baru-baru ini.
- Arja menegaskan pentingnya skrip yang baik dan persediaan rapi pengacara untuk elak isu sensitif dalam acara besar.
- Beliau berharap pengacara lebih peka dan kreatif tanpa mengorbankan sensitiviti penonton pada masa akan datang.
Pelakon, Arja Lee meluahkan rasa kesal terhadap insiden jenaka yang menyentuh busana penyanyi, Aina Abdul ketika sebuah malam anugerah berprestij pada Sabtu.
Menerusi satu hantaran di Threads, Arja menyifatkan kejadian tersebut sebagai sesuatu yang memalukan, apatah lagi apabila pencapaian anak seni yang mengharumkan nama negara sepatutnya diraikan dan dijadikan kebanggaan bersama.
"Sangat memalukan apabila perkara ini berlaku dalam sebuah malam anugerah yang dikatakan berprestij di Malaysia. Sedih sebenarnya.
"Kemenangan di pentas antarabangsa sepatutnya menjadi kebanggaan bersama, bukannya bahan lawak atau sindiran. Hello!" tulisnya.
Dalam masa sama, Arja turut menekankan kepentingan penyediaan skrip yang baik bagi memastikan kelancaran sesebuah acara, khususnya melibatkan pengacara yang mengendalikan majlis berprestij.
Jelasnya, tindakan melakukan ad-lib atau bercakap secara spontan bukanlah satu kesalahan, namun seseorang pengacara perlu memahami kandungan skrip serta peka terhadap isu sensitif sebelum menyampaikan sesuatu jenaka.
"Sebab itulah skrip yang baik sangat penting. Walaupun melakukan ad-lib atau bercakap secara spontan, anda masih memerlukan panduan yang betul.
"Sila kaji, fahami dan hadam skrip anda. Penyampaian yang baik datang daripada persediaan yang baik," ujarnya.
Tambah Arja, kreativiti ketika mengendalikan acara juga perlu disertai kepekaan agar gurauan yang disampaikan tidak menyentuh sensitiviti mana-mana pihak.
Malah, dia berharap kejadian sama tidak berulang dan pengacara lebih serius membuat persediaan sebelum tampil mengendalikan acara besar pada masa akan datang.
"Jadilah kreatif, sentiasa peka dan elakkan daripada bermain-main dengan isu sensitif.
"Tidak salah untuk melakukan ad-lib, tetapi anda perlu mengkaji, memahami dan membuat persediaan dengan baik.
Lakukan lebih baik pada masa akan datang! Persediaan adalah kunci," katanya lagi.
