Sekilas
- Pelakon Mierul Aiman menganggap isu ugutan parang di Threads sudah selesai selepas individu terbabit memohon maaf secara peribadi.
- Mierul menerima permohonan maaf itu dan tidak akan mengambil tindakan lanjut, walaupun pada mulanya terkejut terutama apabila ibunya mengetahui perkara tersebut terlebih dahulu.
- Beliau juga memohon maaf jika tindakannya sepanjang Jelajah Kudrat 1968 menyinggung mana-mana pihak dan menegaskan keselamatan pelakon diberi perhatian sepanjang jelajah.
Pelakon Mierul Aiman menganggap isu ugutan yang diterimanya di Threads sudah selesai selepas individu terbabit menghubunginya sendiri menerusi mesej peribadi untuk memohon maaf.
Mierul atau Mohammad Amirul Aiman Norazman, 28, berkata, dia menerima permohonan maaf itu dan tidak akan mengambil tindakan lanjut.
“Alhamdulillah, pihak yang membuat kenyataan tentang parang itu sendiri sudah meminta maaf kepada saya. Kami merasakan permohonan maaf itu ikhlas dan jujur,” katanya ketika ditemui pada Festival Filem Malaysia ke-35 (FFM35) di Istana Budaya, malam tadi.
Menurut Mierul, dia pada mulanya terkejut dengan kenyataan berkenaan.
Namun, perkara itu lebih membimbangkannya apabila mengetahui ibunya sudah mendapat tahu terlebih dahulu.
“Saya mula-mula terkejut dengan kenyataan itu, tapi rasa terkejut itu tidak berpanjangan sehinggalah saya dapat tahu ibu saya mengetahuinya lebih awal daripada saya.
“Bila perkara itu menimbulkan kerisauan ibu bapa dan keluarga, saya mula memikirkan sama ada ada tindakan saya yang mungkin membuatkan sesetengah pihak tidak bersetuju,” ujarnya.
Susulan itu, Mierul berkata, dia turut memuat naik permohonan maaf sekiranya ada tindakannya sepanjang Jelajah Kudrat 1968 yang menyinggung mana-mana pihak.
Mengulas permohonan maaf individu terbabit, Mierul berkata, mesej itu dihantar terus kepadanya sebelum dikongsikan dengan pihak pengurusan dan Astro.
“Dia anggap itu gurauan sahaja, tetapi sebenarnya gurauan itu sangat kasar dan terlebih batas. Saya ambil perkara ini sebagai peringatan untuk diri sendiri dan semua orang,” jelasnya.
Mierul turut berkata perjalanan jelajah di selatan dan utara dipermudahkan, dengan aspek keselamatan diberikan perhatian terhadap semua pelakon yang terlibat.