Selepas sekian lama berteka-teki, pengacara dan pelakon Ain Edruce mengesahkan dia kini berbadan dua.

Ain mengumumkan khabar gembira itu menerusi saluran YouTubenya hari ini.

Menurut Ain atau nama sebenarnya, Nurulain Edruce, 29, dia sebelum ini terpaksa merahsiakan perkara itu kerana usia kandungannya masih terlalu awal.

“Sebelum ni orang cakap nampak baby bump. Ya saya mengandung, tapi saya tak boleh cakap apa-apa dulu sebab terlalu awal.

"Kandungan saya kini dah cecah empat bulan,” katanya.

Jelas Ain, dia mendapat tahu tentang kehamilan beberapa hari sebelum dia dan suami bercuti di Langkawi.

Justeru, pasangan itu terpaksa menangguhkan aktiviti lasak sepanjang percutian tersebut.

“Saya buat ujian kehamilan ini pun selepas menyedari lambat datang bulan. Jadi kami terpaksa elak aktiviti lasak sepanjang di Langkawi,” katanya.

Tambah Ain lagi, tahun 2020 menjadi tahun paling bermakna baginya biarpun dunia sedang diduga dengan pandemik Covid-19 dan sebagainya.

“Mungkin buat sesetengah orang tahun 2020 banyak sangat benda tidak elok terjadi, kerja susah, rezeki kurang.

“Namun bagi Ain, 2020 ini hari yang paling diingati dan tak boleh lupa sebab saya hamil,” katanya.

Menerusi video yang dimuat naik itu, Ain membuat kejutan kepada suaminya dengan menunjukkan alat ujian kehamilan.

Selain itu, Ain turut berkongsi khabar gembira itu bersama kedua-dua ibu bapa mereka dan kenalan rapat.

Ain mendirikan rumah tangga dengan ahli perniagaan bernama Amirul Hafiz Mustaffa pada 13 Disember tahun lalu selepas mengikat tali pertunangan selama enam bulan.