TERKINI
30 Tahun Menyanyi, Ella Mahu Bersara Secara Semula Jadi
Memulakan kariernya sekitar usia 19 tahun, penyanyi Ella kekal menjadi pujaan peminat dan disayangi ramai.
Bakat luar biasa dan personaliti yang disenangi membuat nama Ella sentiasa relevan meski tahun berganti.
Sedar tidak sedar, Ella atau nama sebenarnya, Nor Zila Aminuddin ini sudah 30 tahun bergelar penyanyi.
Dan sempena meraikan ulang tahun ke-30 pembabitannya sebagai seorang penghibur yang memiliki segudang pengiktirafan serta pengalaman luas, Ella akan muncul dengan Konsert Ella USA yang dijadual berlangsung di Genting Highlands, 17 Mei 2025.
“Konsert Ella USA sempena 30 tahun Ella dalam industri. Ini adalah sebuah konsert yang sangat berbeza daripada persembahan yang pernah saya lakukan sebelum ini. Saya sendiri sangat tidak sabar untuk menjayakan konsert ini,” ujar Ella sewaktu ditemui Gempak baru-baru ini.
Melihat kepada kariernya yang masih berjalan lancar selama tiga dekad, Ella saat ditanya pernah atau tidak terfikir untuk bersara, penyanyi Sepi Sekuntum Mawar Merah ini mengakui lebih suka persaraan dirinya dalam industri seni tempatan terjadi secara semula jadi.
“Saya akan bersara secara semula jadi. Malah selama ini saya tidak pernah rancang dan ingin buat (bersara).
“Tidak terfikir (bersara) saya akan mengikut arus. Saya masih bersemangat bekerja kerana masih ramai yang sayang dan ada permintaan. Untuk masa sekarang saya tidak ada perasaan penat. Saya masih ingin rockin’,” katanya.
Must-Watch Video