Ratu Irama Malaysia, Noraniza Idris mengakui tidak pernah menyertai mana-mana kelas vokal sepanjang berada di dalam industri hiburan.

Namun Noraniza yang juga bintang Gegar Vaganza (GV) musim ketujuh ini berkata, selepas 33 tahun ini kali bertemu guru vokal, sebagai persiapan untuk pertandingan realiti tersebut.

“Sepanjang tempoh 33 tahun dalam industri seni, saya tidak pernah belajar vokal dan ini merupakan pengalaman pertama kali buat saya.

“Demi GV7 saya akan melalui proses ini dan saya juga percaya akan berdepan dengan banyak lagi benda-benda baru yang mungkin selama ini tidak pernah dilakukan.

“Saya tidak malu mengaku yang saya perlu banyak lagi belajar untuk menerokai lagu-lagu lain selain dari Irama Malaysia.

“Semua orang pun tahu saya pejuang tegar Irama Malaysia tetapi mereka juga pun tahu dalam GV kami semua kena persembahkan pelbagai genre lagu,” katanya kepada Gempak.

Mengulas tentang anggapan sesetengah pihak yang mengangap dirinya tidak sesuai menyertai GV7 kerana sudah bertaraf ‘legend’ dalam industri, Noraniza mempunyai pandangan tersendiri.

“Memang saya tak nafikan ramai peminat saya pada mulanya tidak menggalakkan saya menyertai GV.

“Saya juga telah beberapa kali menolak tetapi akhirnya saya bersetuju menyertai GV7 untuk menyahut cabaran dan mahu memberikan sesuatu yang berbeza kepada peminat.

“Saya juga ada misi tersendiri menerusi penyertaan dalam GV7, di mana saya melihat ia sebagai platform terbaik menarik perhatian beberapa pihak membuka pintu lebih besar kepada perjuangan Irama Malaysia.

“Saya lebih melihat kepada impak selepas program ini nanti,” katanya.

Dalam pada itu Noraniza berkata, bersifat terbuka dan sudah bersedia untuk menerima sebarang komen dan kritikan juri sepanjang GV7 berlangsung.

“Saya tak ada masalah dan boleh dengan terbuka kritikan juri profesional kerana pentas itu memang menjadi ruang mereka untuk mengkritik dan mendidik.

“Cuma sekarang ini saya cuba untuk tidak membaca komen-komen negatif netizen kerana tidak mahu emosi terpengaruh dengan perkara negatif,” ujarnya positif.

Rangkaian program GV7 akan mula bersiaran secara eksklusif menerusi saluran Astro Ria (124) dan Astro Ria HD (104) serta turut boleh diakses menerusi portal Gempak dan aplikasi Astro Go untuk pilihan yang lebih fleksibel.

Klip sedutan sesi latihan vokal, persediaan dan trivia para peserta dapat ditonton melalui liputan kapsul ‘Kapsul Gegar Vaganza’.

Untuk lima episod pertama, ‘Kapsul Gegar Vaganza’ akan disiarkan pada hari Isnin hingga Jumaat, jam 6.30 petang bermula 5 Oktober 2020. Manakala siaran ulangan pula adalah pada jam 11.30 malam.

Konsert mingguan ‘GV7’ pula akan bersiaran secara langsung dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) selama 10 minggu pada setiap hari Ahad, jam 9.00 malam mulai 11 Oktober 2020.

Untuk pengisian di platform digital, program ‘Gegar Vaganza Live Plus’ akan disiarkan secara serentak di www.gempak.com/gegarvaganza ketika berlangsungnya konsert mingguan ‘GV7’ bermula 11 Oktober 2020.

Teruskan menonton GV7 yang dibawakan sekali lagi oleh Farm Fresh selaku Penaja Utama, disokong Adabi dan CUCKOO Healthy Home sebagai Penaja Bersama selain Digi selaku Telco Rasmi.