Sekilas
- Jennifer Lopez berkongsi perasaan sebak apabila anak kembarnya, Max dan Emme, memulakan kehidupan baharu sebagai penuntut universiti selepas tamat sekolah.
- Lopez menangis selama enam bulan berturut-turut sejak sebelum majlis graduasi sehingga menghantar anak-anak ke universiti, mengalami pelbagai emosi bercampur-baur.
- Fasa baharu ini memberi ruang kebebasan kepada Lopez untuk fokus pada diri sendiri dan kembali aktif menghasilkan muzik baharu di studio rakaman.
Pesohor Hollywood, Jennifer Lopez tidak dapat menyembunyikan perasaan sebak apabila anak kembarnya, Max dan Emme, memulakan kehidupan baharu sebagai penuntut universiti selepas menamatkan persekolahan tahun ini.
Lopez, 57, yang berkongsi anak kembar berusia 18 tahun itu bersama bekas suaminya, Marc Anthony, mengakui peralihan fasa kehidupan berkenaan memberi kesan emosi yang cukup mendalam buat dirinya.
Berkongsi perkara itu menerusi program The Tonight Show Starring Jimmy Fallon pada hujung minggu lalu, Lopez menyifatkan masa berlalu terlalu pantas sehingga dia masih menyimpan gambar kedua-dua anaknya ketika masih bayi di dalam telefon bimbit.
“Anak-anak saya sudah masuk universiti. Memang sukar dipercayai. Saya masih menyimpan gambar mereka ketika bayi, duduk di atas riba saya. Masa berlalu begitu pantas,” katanya seperti dipetik dari People.
Pelakon The Office Romance itu turut mendedahkan dirinya mula dibelenggu pelbagai emosi sejak anak-anaknya menamatkan persekolahan sehinggalah tiba masa untuk menghantar mereka ke universiti.
Menurut Lopez, dia menangis tanpa henti selama enam bulan, bermula dua bulan sebelum majlis graduasi sekolah menengah anak-anaknya sehinggal beberapa minggu selepas menghantar mereka ke universiti.
“Semua perasaan bercampur-baur. Ada kesedihan, rasa sayu, tetapi pada masa sama kita teruja dan mengharapkan yang terbaik buat mereka. Terlalu banyak emosi yang perlu dilalui.
“Saya menangis selama enam bulan berturut-turut, bermula dua bulan sebelum mereka tamat sekolah, ketika menghantar mereka ke universiti dan beberapa minggu selepas itu. Memang tidak mudah,” ujarnya.
Bagaimanapun, di sebalik kerinduan terhadap anak-anak, bintang itu mengakui fasa baharu kehidupannya turut memberikan ruang kebebasan yang sudah lama tidak dirasai.
Malah, Lopez menyifatkan dirinya kini berada dalam era kehidupan yang lebih membahagiakan apabila dapat memberi tumpuan kepada diri sendiri tanpa terikat dengan komitmen hubungan atau tanggungjawab membesarkan anak-anak seperti sebelum ini.
“Ini kali pertama sejak awal usia 20-an saya tidak bersama sesiapa dan anak-anak juga sudah mempunyai kehidupan sendiri.
“Saya kini bersendirian, bebas dan boleh melakukan apa sahaja yang saya mahu. Ia sesuatu yang menakjubkan, tetapi pada masa sama agak janggal,” katanya.
Seiring perubahan tersebut, Lopez kini kembali aktif di studio rakaman untuk menghasilkan muzik baharu selain meneroka sisi kehidupan yang lebih bebas.
Malah, pengalaman berpisah sementara dengan anak-anaknya turut menjadi inspirasi kepada penghasilan lagu terbaharu.
Mengimbas detik ketika Max dan Emme meninggalkan rumah untuk melanjutkan pengajian, Lopez berkata perasaan yang bercampur-baur ketika itu mendorongnya kembali berkarya.
“Ketika mereka hendak pergi, saya dibanjiri terlalu banyak perasaan dan emosi. Saya kemudian masuk ke studio, mula bereksperimen dengan muzik dan tanpa disedari sudah menghasilkan 20 lagu.
“Saya rasa perjalanan ini baru separuh jalan. Saya perlu meluangkan lebih banyak masa di studio,” jelasnya.
Tambahnya lagi, kehidupan yang dilaluinya sekarang terasa lebih sihat dan seimbang, sekali gus memberikan peluang untuk mengenali semula dirinya dalam fasa kehidupan yang berbeza.
“Saya rasa ini era kehidupan yang membahagiakan. Saya tidak lagi dibebani perkara yang tidak sihat. Ini tempoh yang sangat baik dalam hidup saya.
“Saya kini berdikari dan merasakan seolah-olah sedang melalui satu lagi fasa kematangan dalam kehidupan. Saya percaya ramai ibu bapa boleh memahami perasaan ini,” katanya.