Sejak tayangannya di Indonesia pada 25 Ogos lalu, filem Mencuri Raden Saleh terus menjadi bualan penonton di negara itu kerana dikatakan memiliki tema cerita yang jarang ditemui pada filem-filem Indonesia sedia ada.

Selepas menghiburkan lebih 1.2 juta penonton dalam tempoh satu minggu, filem arahan Angga Dwimas Sasongko yang berkonsepkan ‘heist’ iaitu jenayah rompakan tersebut bakal menemui penonton di Malaysia pada 22 September ini.

Namun, sebelum anda menonton filem ini dipawagam, tidak salah untuk Gempak kongsikan lima fakta yang anda perlu tahu tentang Mencuri Raden Saleh.

1. Bukan Film Heist Pertama Indonesia

Tema heist dalam filem Mencuri Raden Saleh sangat jarang ditemui dalam mana-mana filem Indonesia lain. Tambahan lagi, kisah yang di bawa dalam filem ini mempunyai jalan cerita yang berbeza dan sangat serius.

Bagaimanapun, Mencuri Raden Saleh bukanlah filem Indonesia pertama yang mengusung tema tersebut. Kerana pada tahun 2016, telah wujud sebuah filem yang bergenre serupa berjudul The Professionals yang dilakonkan aktor Fachri Albar, Ariffin Putra dan Lukman Sardi.

2. Lukisan ‘Diponegoro’

Mencuri Raden Saleh melibatkan sebuah karya lukisan pelukis tersohor Indonesia yang hidup pada abad ke-18 iaitu Raden Saleh. Lukisan yang menjadi subjek rompakan dalam filem ini merupakan lukisan ‘Penangkapan Pangeran Diponegoro’ yang juga menjadi barang paling berharga di Istana Presiden Indonesia.

Lukisan tersebut memiliki harga yang sangat mahal dan memerlukan kawalan ketat setiap masa sehingga terjadi banyak adegan-adegan yang tegang serta mendebarkan.

3. Pelakon Kacak Yang Trending

Mencuri Raden Saleh membariskan pelakon tampan yang sedang membina nama di Indonesia iaitu, Iqbaal Ramadhan sebagai Piko ‘The Forger’ dan Angga Yunanda sebagai Ucup ‘The Hacker’.

Nama Iqbaal cukup dikenali selepas muncul dalam filem genre romantik popular Indonesia, Dilan. Manakala Angga pula, pernah tampil dalam filem biopik Indonesia, Habibie & Ainun 3. Ini merupakan gandingan pertama buat kedua-dua aktor tersebut, hal ini sekaligus membuat peminat mereka terutamanya para gadis menjadi tidak sabar untuk menonton filem itu.

4.Adegan Aksi Lagak Ngeri Dilakukan Iqbaal Sendiri

Melihat kepada trailernya sahaja sudah memaparkan begitu banyak adegan aksi yang berisiko tinggi untuk dilakukan.

Namun, apa yang mengejutkan, apabila sebuah adegan terjun daripada bangunan berketinggian enam tingkat dilakukan sendiri oleh Iqbaal tanpa bantuan pelakon aksi lagak ngeri.

5. 4 Tahun Tempoh Pembikinan

Naskhah Mencuri Raden Saleh mengambil masa selama empat tahun secara totalnya bagi melengkapkan keseluruhan filem tersebut.

Menurut pengarahnya, Angga Dwimas Sasongko, bahagian paling lama dalam filem ini adalah ketika proses penulisan skripnya.

Sinopsis

Filem Mencuri Raden Saleh mengisahkan tentang enam remaja yang mempunyai kepakaran berbeza (The Painter, The Mastermind, The Brute, The Negotiator, The Handyman, The Driver) bergabung dan merancang untuk merompak sebuah lukisan karya Raden Saleh atas arahan seorang yang berpengaruh dan berkuasa.

Namun, misi mereka telah dikhianati dan tanpa diduga kesemua mereka menjadi buruan polis. Justeru, mereka nekad untuk membalas dendam dengan mencuri kembali lukisan Raden Saleh serta membersihkan kembali nama baik mereka.

Saksikan Mencuri Raden Saleh bermula 22 September ini di seluruh pawagam Malaysia dan turut mengikuti perkembangan terbaru serta klip-klip menarik filem ini di TikTok, Instagram, Twitter, Facebook Astro Shaw dan Astro Gempak.