Filem The Garden of Evening Mists terus mendapat pujian dalam kalangan penonton yang sudah menyaksikan filem ini.
'
Rata-rata menyifatkan filem tempatan bertaraf antarabangsa yang diterbitan Astro Shaw dan HBO Asia itu mempunyai sinematografi yang cukup indah.

Bahkan, ada juga yang seakan-akan tidak percaya bahawa lokasi-lokasi penggambaran filem arahan sutradara Taiwan, Tom Shu-Yu Lin itu dijayakan sepenuhnya di negara ini.

Menjalani penggambaran selama 49 hari, filem yang mendapat sembilan pencalonan di Anugerah Golden Horse ke-56 itu memaparkan beberapa lokasi menarik yang terdapat di tiga negeri iaitu Pahang, Selangor dan Perak.

Berikut, lima lokasi yang menjadi pilihan penggambaran filem yang diadaptasi dari novel hasil tulisan Tan Twan Eng yang juga merupakan pemenang Man Asian Literary Prize 2012.


#1 Ladang Teh



Terdapat dua ladang di Cameron Highlands yang menjadi lokasi penggambaran iaitu Ladang Teh Bharat dan Ladang Teh Boh.

Di Ladang Teh Bharat itulah dibangunkan sebuah pondok di mana tempat Yun Ling (lakonan Sinje Lee) menginap ketika cuba membangunkan sebuah taman Jepun. Bagaimanapun, usai penggambaran pondok tersebut kemudian dirobohkan.


#2 Temoh Resort, Perak



Temoh merupakan sebuah pekan yang terletak di daerah Batang Padang, Perak.

Di situlah salah sebuah resort dijadikan sebagai lokasi bagi menjayakan penggambaran babak-babak di kediaman Aritomo (lakonan Hiroshi Abe).


#3 Mossy Forest, Cameron Highlands



Salah satu lokasi menarik yang menjadi tumpuan pelancong di Cameron Highlands ialah Mossy Forest.

Hutan lumut yang terletak di Gunung Brincang itu menjadi pilihan lokasi penggambaran bagi babak ketika Yun Ling melakukan trekking bersama Aritomo di sebuah gunung.

Ketika itu jugalah, Yun Ling membuka cerita mengenai kisah lampaunya sewaktu menjadi tahanan tentera Jepun kepada Aritomo.


#4 VIP Bungalow & Hatter's Castle, Pulau Carey



Bagi mereka yang sudah menonton filem ini, pasti perasan akan sebuah banglo putih yang menjadi kediaman watak Magnus.

Banglo yang memaparkan senibina kolonial itu sebenarnya sudah dibina pada tahun 1920-an lagi.

Terletak di Pulau Carey, Klang, Selangor kediaman tersebut menjadi lokasi pilihan penggambaran bagi babak di rumah Magnus.


#5 Lombong Sungai Lembing, Sungai Lembing


Lombong Sungai Lembing yang terletak di Pahang ini merupakan antara lokasi tumpuan pelancong.

Dikenali dengan aktiviti pelombongan biji timah, di sinilah pengunjung selalunya menaiki lokomotif ataupun kenderaan yang mengangkut hasil bijih timah.

Bagaimanapun, dalam filem The Garden of Evening, sebahagian kawasan di sini digunakan sebagai lokasi kem buruh paksa tentera Jepun.

Begitupun, kem penempatan yang dibina itu kemudian dirobohkan sebaik selesai penggambaran.

Jadi, bagi anda yang belum menonton filem The Garden of Evening Mists, jangan lupa saksikan di pawagam berhampiran anda hari ini.




Foto: Imej Google