Sekilas
- Datin Seri Shahida berkongsi bahawa suaminya, Datuk Seri Aliff Syukri, sangat bertimbang rasa dan tidak pernah menyuruhnya buat kerja rumah sejak awal perkahwinan mereka.
- Aliff sendiri akan memasak dan mengeringkan pakaian, malah mengupah orang untuk membantu kerja rumah supaya Shahida tidak terbeban selepas balik kerja dan menjaga anak.
- Aliff menjelaskan prinsipnya sebagai suami adalah menjadi contoh yang baik dalam keluarga dengan mengamalkan disiplin dan tanggungjawab bersama.
Usahawan, Datin Seri Shahida memaklumkan suaminya, Datuk Seri Aliff Syukri merupakan seorang suami yang sangat bertimbang rasa serta meratukan isteri.
Menerusi podcast Sembang Seram bersama Safwan Nazri, Shahida memaklumkan Aliff tidak pernah memintanya melakukan kerja rumah sebaliknya akan mencari jalan dengan mengupah orang untuk melakukan segala kerja tersebut sejak awal perkahwinan mereka.
Ujar Shahida, Aliff sendiri juga akan melakukan kerja rumah seperti memasak dan mengeringkan pakaian kerana tidak mahu membebankan dirinya yang juga bekerja pada ketika itu.
“Sepanjang saya kahwin dan walaupun ketika susah, dia (Aliff) akan tetap mengupah orang sehari RM20 misalnya untuk buat kerja rumah seperti lipat kain dan sebagainya.
“Dia tak akan suruh saya sebab dia tahu saya balik kerja dah penat, ada anak lagi. Memang saya tak buat kerja rumah.
“Kadang-kadang bila pagi, dia dah sidaikan baju dan bila saya balik dia dah siap masak,” kongsinya.
Sementara itu, Aliff memaklumkan tindakan tersebut merupakan salah satu prinsipnya sebagai seorang suami dalam perkahwinan.
Ujar Aliff, dia perlu menjadi contoh yang baik kepada isteri dan anak-anak demi memastikan keluarganya terjamin.
“Tak tahulah prinsip orang lain macam mana tapi itu adalah prinsip saya.
“Apa yang saya nak kongsikan disini ialah, kalau suami seorang pembersih pasti akan menjentik isteri untuk menjadi yang pembersih. Kita kena jadi contoh yang baik terlebih dahulu.
“Saya mungkin kurang dari segi agama tapi pada saya, saya perlu menjadi contoh. Sebab itu bila saya kahwin, saya buat jadual supaya berdisiplin,” tambah Aliff.
Untuk rekod, Aliff dan Shahida telah mendirikan rumah tangga sejak dari 2007 dan hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan enam cahaya mata.
Sumber: YouTube