Masihkah anda ingat pada konsert jelajah Dato’ Sri Siti Nurhaliza On Tour yang berlangsung pada awal tahun 2019?

Menerusi siri konsert ikonik berkenaan, penyanyi nombor satu negara itu menjelajah hingga ke Indonesia, Singapura dan seterusnya kembali Kuala Lumpur bagi menghiburkan peminat selepas lama vakum daripada dunia hiburan.

Bagi menghidupkan kembali momen-momen indah yang disemai bersama peggemarnya dua tahun lalu, Siti Nurhaliza Production dan Shiraz Projects mempersembahkan Siti: Are You Ready? sebuah dokumentari konsert khusus untuk peminat.

Nak tahu kenapa dokumentari konsert ini wajib ditonton khususnya oleh peminat berat Siti Nurhaliza? Semak fakta berikut:

Belakang Tabir
Menerusi dokumentari Siti: Are You Ready?, peminat bakal dibawa bersama mengikuti sesi brainstorming, perbincangan, pemilahan lagu, latihan dan seterusnya sesi raptai sebelum konsert bermula. Peminat dapat melihat jerih perih pihak produksi dalam menjadikan konsert jelajah berkenaan sempurna dari segi audio, visual dan juga persembahan.

“Banyak sebenarnya momen menarik untuk dikongsikan. Tetapi, dalam 72 jam rakaman yang dibuat sepanjang proses melaksanakan konsert, hanya 80 minit sahaja footage terakhir yang ditayangkan,” ujar Siti.

Emosi
Sepanjang perjalanan dokumentari, peminat boleh menyaksikan bagaimana seorang yang bernama Siti Nurhaliza bekerja. Keseriusannya dalam mendepani setiap cabaran serta kekangan menunjukkan betapa profesionalnya Siti dalam melaksanakan tugas.

Jangan terkejut pula kalau ada beberapa situasi tegang yang dapat disaksikan ketika anda menonton dokumentari ini!

Konflik
Melihat pada penghasilan konsert jelajah ini, pasti ramai yang menyangkakan ia bebas daripada sebarang masalah. Jangkaan anda tidak tepat. Menerusi dokumentari ini, pelbagai jenis konflik dapat disaksikan dan ia memberikan gambaran bahawa penghasilan sesuatu persembahan berskala besar itu bukanlah satu hal yang mudah.

“Apabila membuat konsert yang besar, tanggungjawabnya juga besar. Sungguhpun satu pasukan telah bekerja keras, jika masalah tiba, kita tidak boleh buat apa. Kalau ada perancangan yang betul dan teliti, insya-Allah semua akan berjalan dengan lancar,” kongsi Siti lagi.

Audio & Visual
Dari segi audio dan visual pula, peminat dapat menikmati dokumentari dan konsert menerusi sudut pandang berbeza, tetapi dalam masa yang sama meletakkan diri dalam lautan penonton yang hadir menyaksikan persembahan Siti.

Tayangan Di Rumah
Filem dokumentari, Siti Are You Ready? dan Konsert Dato' Sri Siti Nurhaliza On Tour - Live In Concert boleh ditonton di pawagam di rumah anda, Astro First bermula 30 Disember ini.

Pada harga RM19.90 sahaja, peminat boleh menonton kedua-dua filem dokumentari dan konsert selama 48 jam secara berulang-ulang.

Bagi mereka yang berada di luar Malaysia dan Brunei, boleh melanggan di platform Vimeo on Demand bermula 30 Disember depan dengan harga USD4.99 dan boleh menonton selama 48 jam secara berulang-ulang.