Sekilas
- Zehra Zambri berkongsi pandangan tentang hiburan dalam majlis konvokesyen universiti yang kini menjadi perbincangan ramai.
- Menurutnya, hiburan dalam majlis konvokesyen harus dilihat secara menyeluruh dan tidak salah jika dilakukan dengan etika dan kesesuaian.
- Zehra mencadangkan agar hiburan yang disediakan tidak keterlaluan dan lebih baik jika mengalunkan lagu yang melambangkan seni budaya atau nilai patriotik.
Penyanyi, Zehra Zambri tampil memberi pandangan mengenai aktiviti hiburan yang diselitkan dalam majlis konvokesyen universiti.
Menurut Zehra, isu hiburan berbentuk konsert yang menjadi perbincangan ketika ini perlu dilihat secara menyeluruh dan bukan sekadar dinilai dari satu sudut sahaja.
Bagaimanapun, dia berpendapat hiburan yang disediakan sebagai selingan dalam majlis berkenaan perlulah bersesuaian dan tidak keterlaluan.
"Foto ini pada tahun 2013 ketika saya diundang membuat persembahan pada hari konvokesyen saya. Sekarang ini dah jadi isu tentang hiburan ala konsert pada majlis konvokesyen universiti.
"Pandangan saya, ia harus dilihat secara menyeluruh. Hiburan itu tak salah cuma ia perlu dilaksanakan dengan etika dan tidak mengabaikan aspek kesesuaian dan adab.
"Perlu ada hiburan selingan tapi haruslah tidak keterlaluan. Lebih molek jika mengalunkan lagu-lagu yang melambangkan seni budaya atau ada nilai patriotik," katanya.