Sekilas
- Datuk Fazley Yaakob berkongsi keadaan ibunya yang menghidap demensia untuk memaklumkan kepada rakan-rakan ibunya tentang perubahan yang berlaku.
- Ibunya kini menghadapi kesukaran mengingat kata laluan telefon dan menunaikan solat walaupun sebelum ini sangat rajin beribadah.
- Fazley mengucapkan terima kasih kepada semua yang mendoakan kesihatan ibunya yang semakin merosot dengan ingatan jangka pendek hanya bertahan 30 saat.
Cef selebriti dan penyanyi Datuk Fazley Yaakob tampil menjelaskan tujuan dia berkongsi mengenai keadaan kesihatan ibunya yang kini menghidap demensia.
Menerusi hantaran di Threads, Fazley memberitahu dia terpaksa berkongsi perkara itu untuk memaklumkan kepada rakan-rakan ibunya.
“Guys… saya terharu sangat doa dan semangat yang diberikan terhadap ibu saya Datin Umi Kalsom Abdol Latib.
“Saya terpaksa bercerita kisah ibu saya yang kini penghidap demensia, supaya kawan-kawan ibu tahu mengapa ibu tiba-tiba ‘hilang’ dan tak dapat lagi dihubungi melalui telefon,” katanya.
Dalam pada itu, Fazley turut mendedahkan ibunya juga berdepan dengan masalah untuk menunaikan solat biarpun sebelum ini wanita tersebut rajin beramal ibadah.
“Password phone ibu dah tak ingat, nak solat pun ibu saya dah lupa macam mana, sedangkan ibu paling rajin beramal solat-solat sunat dan baca Quran hari-hari without fail.
“Terima kasih semua yang hadir mendoakan ya,” kongsinya lagi.
Terdahulu, Fazley mendedahkan keadaan terkini ibunya, Datin Paduka Umi Kalsom Abdol Latib yang semakin merosot akibat demensia apabila ingatan jangka pendeknya kini hanya mampu bertahan 30 saat.
Sumber - Threads