Sekilas
- Ustazah Asni Mansor memilih untuk tenang dan reda dalam menghadapi proses perceraian yang sedang dilaluinya.
- Dia mengambil kisah Maryam A.S sebagai pedoman untuk sabar dan tidak terlalu memikirkan pandangan orang lain.
- Ustazah Asni telah memfailkan tuntutan perceraian di Mahkamah Rendah Syariah Hulu Langat, Selangor.
Pendakwah bebas, Ustazah Asni Mansor memilih untuk tenang dan reda dalam menghadapi proses perceraian yang sedang dilaluinya.
Menurut Asni, segala yang berlaku sudah ditentukan oleh Allah SWT dan dia percaya setiap ujian mempunyai hikmah tersendiri.
“Alhamdulillah semuanya sudah diaturkan Tuhan, saya kena tenang dan reda, apa pun kita kena lalui proses ini, insya-Allah,” katanya ringkas.
Ustazah Asni berkata demikian ketika ditemui usai program Mualim Muda 2 di minggu kelima bertempat di Visual Three Productions, Sri Kembangan pada Sabtu.
Dalam pada itu, Ustazah Asni juga menjadikan kisah Maryam A.S sebagai pedoman dalam menghadapi ujian, selain mengingatkan dirinya agar tidak terlalu memikirkan pandangan atau penilaian orang lain.
“Saya pandang benda ini bagaikan Maryam A.S, apabila beliau juga dihina, difitnah tapi Allah perintahkan beliau diam sahaja.
“Diam dan ciptalah sabar, kita tidak boleh mencari nilaian manusia. Teruskan hidup dengan bismillah,” ujarnya.
Untuk info, Ustazah Asni Mansor memfailkan tuntutan perceraian terhadap suaminya, Mounir Abdul-Karim Kaddoura di Mahkamah Rendah Syariah Hulu Langat, Selangor.