Filem terbaru arahan Jeany Amir yang berjudul Bu bakal menjengah pawagam bermula 11 April ini.

Filem ini dibintangi oleh barisan pelakon popular tanah air seperti Remy Ishak, Nadia Brian, Rashidi Ishak, Nadiya Nisa, Wan Hanafi Su, Dian P Ramlee dan ramai lagi.

Bu menampilkan tiga kisah berbeza dalam satu filem dimana penonton dapat menyaksikan dugaan yang dihadapi oleh seorang ibu, isteri dan seorang lelaki.

Gempak telah menyaksikan terlebih dahulu filem ini ketika tayangan yang diadakan untuk pihak media baru-baru ini.

Di sini, Gempak senaraikan lima sebab mengapa anda perlu tonton Bu :

1) Lakonan Mantap Barisan Pelakon

Memandangkan barisan pelakon yang membintangi filem ini terdiri dari mereka yang berbakat dan berpengalaman, kesemua babak berjaya dilakonkan dan menyentuh emosi penonton terutamanya lakonan Dian P Ramlee yang memegang watak seorang ibu yang cekal dan banyak berkorban untuk anak dan menantunya. Selain itu, lakonan Wan Hanafi Su yang berkualiti juga wajar dipuji, walaupun dia hanya muncul dalam beberapa babak pendek, namun efek lakonannya melekat di minda penonton.

2) Sinematografi Menarik

Sinematografi filem ini layak dipuji, penonton dapat melihat sudut dan penyuntingan yang baik di semua babak sepanjang filem ini sekaligus menjadikan filem ini mempunyai kelas tersendiri.

3) Jalan Cerita Mudah Difahami

Walaupun tiga kisah berbeza ditampilkan, namun jalan ceritanya tidak membuatkan penonton bercelaru, ianya mudah difahami sekiranya penonton menumpukan perhatian.

4) Mesej Berguna Untuk Masyarakat

Filem ini mengandungi banyak mesej berguna untuk penonton antaranya yang berbentuk kekeluargaan. Watak Aishah yang dipegang oleh Nadiya Nisaa sangat memberi kesan dalam jiwa penonton. Aishah merupakan seorang ibu dan isteri yang penyabar dan tabah, tidak pernah berputus asa untuk memperbaiki hubungan keluarga yang bermasalah.

5) Pengakhiran Memuaskan Hati Penonton

Penonton berpuas hati menyaksikan pengakhiran cerita ini kerana semua konflik dan dugaan setiap watak dapat diselesaikan dengan baik dan semuanya menerima khabar gembira. Anda mahu tahu tiga kisah berbeza itu? Jangan lupa untuk saksikan filem ini di pawagam tidak lama lagi!