Sekilas
- Jennie BLACKPINK mencipta dan menyanyikan lagu balada berjudul "Someone to Hold" untuk filem animasi Netflix terbaru, Steps, yang merupakan projek runut bunyi filem animasi pertamanya.
- Runut bunyi Steps turut menampilkan penyanyi lain seperti Rose Gray, Amanda Seyfried, dan Emei, dengan skor muzik asal digubah oleh komposer pemenang Oscar, Kris Bowers.
- Filem animasi Steps yang mengisahkan dua adik-beradik tiri Cinderella akan ditayangkan di Netflix pada 20 November, berserta pelancaran runut bunyi di platform muzik digital.
Jika sebelum ini peminat menikmati suara Jennie BLACKPINK menerusi lagu-lagu solonya, kali ini penyanyi itu bakal tampil dengan sesuatu yang berbeza.
Jennie diberi peluang mencipta dan menyanyikan lagu khas untuk filem animasi terbaharu Netflix berjudul Steps.
Menariknya, ia merupakan pembabitan kali pertama Jennie terlibat dalam projek runut bunyi filem animasi. Bintang tersebut bakal mempersembahkan lagu berjudul Someone to Hold yang turut ditulis olehnya sendiri, umum Netflix.
Lagu berentak balada tersebut akan dimainkan dalam salah satu babak menyentuh perasaan, sekali gus menggambarkan hubungan antara watak utama dalam filem berkenaan.
Berkongsi keterujaannya, Jennie mengakui pengalaman menghasilkan lagu untuk filem animasi merupakan sesuatu yang cukup menyeronokkan.
"Saya sangat teruja dapat menjadi sebahagian daripada keluarga Steps. Seronok rasanya dapat menghasilkan lagu pertama untuk sebuah filem animasi! Saya sukakan karakter dan personaliti setiap watak.
“Saya juga gembira kerana dapat menjadi sebahagian kecil daripada dunia mereka. Saya harap anda semua menikmati Steps dan Someone to Hold sebagaimana saya menikmatinya," katanya.
Malah, peminat juga sudah boleh mengintai sedikit keistimewaan lagu tersebut menerusi treler Steps yang dilancarkan baru-baru ini.
Selain Jennie, runut bunyi Steps turut menampilkan tiga lagi penyanyi iaitu Rose Gray, Amanda Seyfried dan Emei.
Rose Gray menyumbangkan lagu Meet Me on the Dance Floor selain menjadi penulis bersama lagu Smile and a Song yang akan dinyanyikan Amanda Seyfried, pelakon yang meminjamkan suaranya kepada watak Cinderella.
Sementara itu, Emei tampil dengan lagu Understudy yang diinspirasikan daripada pengalaman peribadinya apabila berasa dipinggirkan dan tidak difahami.
Bagi skor muzik asal pula, ia digubah oleh komposer pemenang Oscar, Kris Bowers yang pernah terlibat dalam filem The Wild Robot, The Color Purple dan siri Bridgerton.
Rakaman skor muzik itu juga dilakukan di Abbey Road Studios, London.
Steps mengetengahkan kisah dua adik-beradik tiri Cinderella, Lilith dan Margot yang selama ini sering digambarkan sebagai watak jahat dalam cerita dongeng klasik.
Masing-masing disuarakan oleh Ali Wong dan Stephanie Hsu, kedua-dua watak itu sebenarnya sudah bosan hidup dalam bayangan Cinderella.
Segalanya menjadi huru-hara apabila Lilith mencuri tongkat sakti Fairy Godmother sehingga mengganggu majlis tari-menari diraja.
Lebih malang, tindakannya secara tidak sengaja membuka peluang kepada Priscilla, watak antagonis yang disuarakan Nikki Glaser, untuk mengambil alih kerajaan.
Bagi membetulkan keadaan, Lilith akhirnya terpaksa bekerjasama dengan Cinderella (Amanda Seyfried) dalam misi menyelamatkan kerajaan yang penuh dengan makhluk ajaib dan musuh berbahaya.
Selain Ali Wong, Stephanie Hsu dan Amanda Seyfried, filem arahan Alyce Tzue dan John Ripa itu turut menampilkan Daniel Radcliffe, Bette Midler, Peter Dinklage, Young Mazino serta bintang WWE, Damian Priest sebagai pelakon suara.
Steps bakal ditayangkan menerusi Netflix pada 20 November ini, manakala runut bunyinya turut dilancarkan di platform muzik digital pada tarikh sama.