WATCH
5 tips mudah untuk jaga transmisi automatik
Transmisi automatik dilihat semakin mendominasi pasaran kereta bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di peringkat global.
Faktor utama yang menyebabkan hal ini adalah kerana gear automatik lebih senang digunakan selain mudah difahami.

Namun oleh kerana transmisi automatik lebih kompleks dan mempunyai lebih banyak komponen berbanding transmisi manual.
Ia memerlukan penjagaan yang baik bagi mengelakkan kerosakan yang boleh menyebabkan poket anda berlubang.
Di sini kami kongsikan lima tips mudah penjagaan transmisi automatik supaya lebih tahan lama.
1. Tukar minyak pelincir gear mengikut jadual
Selain minyak enjin, anda juga seharusnya memberi perhatian terhadap minyak transmisi automatik atau juga dikenali sebagai Automatic Transmission Fluid (ATF). Ia sepatutnya ditukar setiap 30,000 hingga 50,000km atau setiap tiga bulan sekali. Pastikan pelincir yang dipilih sesuai untuk kereta anda.
2. Gunakan gear yang sesuai
Seperti yang dikatakan, transmisi automatik mudah untuk difahami. P bermaksud ‘parking’, R adalah gear ‘reverse’ atau undur, N merujuk kepada gear neutral manakala D pula bermaksud ‘drive’. Masukkan gear ke kedudukan N apabila berhenti di lampu merah yang lama atau ketika ditunda.
3. Jangan gopoh menukar gear
Ramai di antara kita yang kurang sabar dan selalu menukar gear sebelum kenderaan berhenti sepenuhnya. Perbuatan ini boleh mendatangkan tekanan berlebihan terhadap transmisi dan lama kelamaan boleh merosakkan komponen itu.
4. Elakkan menekan pedal minyak secara agresif
Hal ini perlu dielakkan lebih-lebih lagi ketika kereta baru mula bergerak kerana ia mampu mendatangkan kerosakan kepada injap solenoid.
5. Panaskan enjin sebelum memandu
Jangan memandu ketika enjin masih belum berada pada suhu operasi yang ideal. Hal ini mungkin kedengaran remeh tetapi ia mampu memanjangkan jangka hayat enjin dan transmisi kereta anda. Biasakan diri untuk memanaskan enjin selama beberapa minit dengan gear pada kedudukan neutral sebelum memulakan perjalanan.
Must-Watch Video