Seramai tujuh selebriti dikompaun kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ketika menghadiri Majlis Berbuka Puasa dan Rapatkan Saf 2021 pada April lepas.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Mohamad Zainal Abdullah berkata enam individu masing-masing dikompaun RM1,500 kerana tidak memakai pelitup muka manakala penganjur yang juga seorang selebriti dikompaun RM10,000 kerana gagal memastikan tetamu memakai pelitup muka sepanjang majlis diadakan.

"Semua yang terlibat telah dikompaun semalam dengan keseluruhan kompaun berjumlah RM19,000," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata keputusan untuk mengenakan kompaun terhadap semua individu itu dibuat selepas pihaknya menerima kembali kertas siasatan kes daripada pejabat Peguam Negara.

Pada 2 Mei lepas, polis membuka kertas siasatan berkaitan penganjuran majlis yang diadakan di sebuah hotel di Bukit Bintang yang turut dihadiri beberapa artis.

Siasatan turut dilakukan selepas gambar penganjuran majlis berkenaan tular di media sosial yang memaparkan beberapa artis melanggar SOP kerana tiada penjarakan sosial dan tidak memakai pelitup muka ketika menghadiri majlis berkenaan.

Sumber: BERNAMA