Sekilas
- Norman Hakim mengucapkan tahniah kepada anaknya, Marissa Dania, yang menghadiahkan diri sebuah kereta BMW hasil usaha kerasnya.
- Norman memuji disiplin dan keazaman Marissa serta mengingatkan pentingnya menunaikan zakat dan bersedekah dalam perniagaan.
- Marissa berkongsi kegembiraan di Instagram dengan foto kereta BMW putih yang dihiasi reben merah sebagai simbol kejayaannya.
Pelakon dan usahawan Norman Hakim mengucapkan tahniah kepada anaknya, Marissa Dania yang menghadiahkan diri sebuah kereta BMW selepas bekerja keras.
Menerusi perkongsian di Instagram, Norman memuji usaha, disiplin dan kesungguhan anaknya sehingga mampu mencapai kejayaan tersebut.
“Tahniah, anak. Kamu telah bekerja sangat keras dan membuktikan bahawa kebijaksanaan, disiplin serta keazaman mampu membawa kamu jauh.
“Kamu memang layak menghadiahkan diri dengan ‘mainan ketiga’ kamu,” tulisnya.
Dalam perkongsian sama, Norman turut mengingatkan Marissa agar sentiasa menunaikan zakat dan bersedekah seiring perkembangan perniagaannya.
“Ingat pesan Papa, jangan sesekali abaikan zakat. Terus istiqamah dalam bersedekah dan jadikan platform perniagaan yang dibina sebagai jalan untuk memberi manfaat kepada masyarakat dan negara melalui tanggungjawab cukai dengan amanah.
“Kejarlah reda Allah dan kebahagiaan akhirat, insya-Allah dunia akan menyusul dengan izin-Nya,” pesannya.
Norman turut memberikan kata-kata semangat agar anaknya terus berdoa dan berusaha mengejar impian.
“Terus berdoa dan berusaha kerana sesuatu yang terasa mustahil bagi kita tidak pernah mustahil bagi-Nya.
“Akhir sekali, mari tetapkan sasaran seterusnya, Targa!” kongsinya.
Sementara itu, menerusi hantaran dalam Instagram miliknya, Marissa berkongsi foto berdiri di sisi sebuah BMW berwarna putih yang dihiasi reben merah.
“Alhamdulillah, hehe,” tulisnya ringkas.