Sekilas
- Airbnb membina semula kediaman keluarga Raichand dari filem Bollywood ikonik Kabhi Khushi Kabhie Gham untuk pengalaman istimewa percuma selama dua jam di Mumbai.
- Pengalaman ini menawarkan lawatan ke ruang ikonik filem, aktiviti bertemakan watak, dan cenderamata, dengan kerjasama Karan Johar serta bintang utama Kareena Kapoor Khan dan Hrithik Roshan.
- Tempahan dibuka pada 23 November 2026 dan hanya 180 tempat disediakan dari 1 hingga 6 Disember 2026, dengan pengunjung perlu menguruskan perjalanan sendiri ke Mumbai.
Peminat filem Bollywood ikonik Kabhi Khushi Kabhie Gham (K3G) kini berpeluang merasai sendiri suasana kediaman mewah keluarga Raichand yang menjadi antara lokasi paling diingati dalam naskhah popular itu.
Sempena ulang tahun ke-25 filem arahan Karan Johar berkenaan, Airbnb membina semula kediaman keluarga Raichand di Mumbai, India, menerusi pengalaman istimewa yang dinamakan At Home with the Raichands.
Menariknya, pengalaman selama dua jam itu ditawarkan secara percuma kepada peminat, namun hanya 180 tempat disediakan sepanjang penganjurannya dari 1 hingga 6 Disember 2026.

Pengunjung berpeluang meneroka beberapa ruang ikonik yang diinspirasikan daripada filem tersebut, termasuk tangga utama yang gah, bilik bacaan keluarga dan almari pakaian mewah milik watak Poo.
Lebih istimewa, pengalaman itu turut diperkenalkan dengan kerjasama Karan Johar bersama dua bintang utamanya, Kareena Kapoor Khan dan Hrithik Roshan.
Bagi Kareena, karakter Poo yang dibawakannya dalam filem tersebut masih mempunyai tempat istimewa dalam hidupnya meskipun sudah 25 tahun berlalu.
“Poo sudah menjadi sebahagian daripada hidup saya selama 25 tahun dan saya gembira melihat watak itu masih mendapat perhatian generasi baharu.
“Dia mempunyai gaya tersendiri, cara bercakap yang tersendiri dan paling penting, dia tidak pernah benar-benar memerlukan persetujuan orang lain,” katanya dalam satu kenyataan.


Sementara itu, Hrithik yang membawakan watak Rohan Raichand menyifatkan inisiatif berkenaan sebagai cara terbaik untuk meraikan ulang tahun filem yang menjadi antara karya penting pada awal kerjayanya.
“Melihat rumah keluarga Raichand dibina semula oleh Airbnb dan mengetahui peminat berpeluang mengimbau sendiri kenangan mereka merupakan cara terbaik untuk meraikan filem ini,” katanya.

Selain meneroka ruang kediaman tersebut, pengunjung turut berpeluang mengikuti lawatan audio yang mengimbau babak-babak popular filem berkenaan.
Mereka juga boleh menyertai aktiviti yang diinspirasikan daripada watak filem, menulis nota peribadi bertemakan kasih sayang dan kekeluargaan serta membawa pulang cenderamata kenangan.
Bagaimanapun, Karan Johar, Kareena dan Hrithik tidak akan hadir secara fizikal sepanjang pengalaman tersebut.




Untuk rekod, Kabhi Khushi Kabhie Gham ditayangkan pada Disember 2001 dengan membariskan nama besar Bollywood termasuk Amitabh Bachchan, Jaya Bachchan, Shah Rukh Khan dan Kajol.
Filem berkenaan mengisahkan konflik sebuah keluarga kaya apabila seorang anak lelaki memilih untuk berkahwin dengan wanita pilihannya meskipun mendapat tentangan bapanya.
Selepas 25 tahun, naskhah itu terus dikenang menerusi jalan cerita penuh emosi, lagu-lagu popular serta penampilan fesyen para pelakonnya.

Permohonan tempahan bagi pengalaman At Home with the Raichands akan dibuka pada 23 November 2026, jam 12 tengah hari waktu India.
Setiap tempahan meliputi dua pengunjung, namun mereka perlu menguruskan sendiri perjalanan ke Mumbai.
Sumber: Variety