Sekilas
- Treler filem Takluk 2: Op Daulat raih sejuta tontonan selepas sebulan dimuat naik di YouTube GSC, mendapat pujian dari segi aksi, visual dan pengolahan warna.
- Filem ini adalah kesinambungan Takluk: Lahad Datu yang mengisahkan Ops Daulat dan pengorbanan anggota keselamatan semasa pencerobohan pengganas Sulu di Sabah.
- Takluk 2: Op Daulat akan ditayangkan di pawagam seluruh negara mulai 26 November, dengan pelakon utama seperti Syafiq Kyle dan Datuk Remy Ishak.
Treler filem Takluk 2: Op Daulat mencuri perhatian apabila meraih sejuta tontonan selepas sebulan dimuat naik di saluran YouTube Golden Screen Cinemas (GSC).
Menerusi ruangan komen, ramai penonton meluahkan keterujaan untuk menyaksikan kesinambungan filem Takluk: Lahad Datu itu di pawagam.
“Saya dah sedia, tak sabar nak tunggu. Harap filem ini terakhir atau ada sambungan lagi?” komen seorang pengguna.
“Macam best sahaja cerita ini. Akhirnya ada Takluk 2,” tulis seorang lagi.
Selain babak aksi, mutu visual dan pengolahan warna dalam treler tersebut turut mendapat pujian.
Bagaimanapun, ada penonton meletakkan harapan agar babak membabitkan jet pejuang dapat memenuhi jangkaan mereka.
“Meremang. Pengolahan warna cantik sangat. Harap bahagian jet pejuang itu tak mengecewakan macam Air Force dahulu,” komen seorang pengguna.
Dalam masa sama, ada yang mengajak orang ramai memberikan sokongan terhadap karya tempatan tersebut.
“Ini baru filem. Jom serbu ramai-ramai nanti, geng. Kita sokong filem kita,” tulisnya.
“Fuh, banyak aksi. Seronok ini,” komen pengguna lain.
Untuk rekod, Takluk 2: Op Daulat merupakan kesinambungan Takluk: Lahad Datu yang diinspirasikan daripada peristiwa pencerobohan di Lahad Datu, Sabah.
Filem tersebut mengangkat kisah Ops Daulat susulan pencerobohan pengganas Sulu di Kampung Tanduo pada Februari 2013.
Kisah itu turut mengetengahkan pengorbanan anggota keselamatan yang mempertaruhkan nyawa demi mempertahankan kedaulatan negara.
Filem aksi berkenaan dibintangi Syafiq Kyle, Datuk Remy Ishak, Kamal Adli, Datuk Eman Manan, Fadlan Hazim, Nas-T, Luqman Hafidz, Taufiq Hanafi dan Sara Ali.
Takluk 2: Op Daulat bakal menemui penonton di pawagam seluruh negara mulai 26 November ini.