Aktif bergelumang dalam dunia politik, pelakon dan pengarah terkenal, Datuk Afdlin Shauki tidak menolak jika dicalonkan untuk bertanding dalam pilihan raya.

Malah, pengarah filem Baik Punya Cilok ini mengakui sudah bersedia jika dipilih sebagai calon.

Pun begitu, menurut Afdlin tidak pasti sama ada ura-ura berkenaan adalah benar atau hanya khabar angin sahaja.

“Sama ada saya dicalonkan atau tidak, itu terpulang kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Saya ahli PKR biasa saja. Cuma ada dengar nama dicalonkan untuk jadi wakil rakyat, tetapi saya tak boleh sahkan atau nafikan," katanya.

Jelasnya, dia sentiasa terbuka dan sekiranya tidak memegang jawatan sekali pun, dia tetap akan sokong sesiapa sahaja yang dicalonkan itu.

"Apa yang penting bagi saya adalah untuk membantu orang.

“Saya percaya kita kena bekerja sebagai satu pasukan untuk pastikan tugasan dapat membantu masyarakat itu dilaksanakan dengan baik.

"Dan ya, kalau dicalonkan, saya bersedia,” katanya.

Sekadar info, Afdlin sebelum ini diumumkan menyertai PKR bersama-sama penyanyi terkenal, Altimet pada April tahun lalu.

Menurut Afdlin, keputusannya menyertai PKR selepas pernah berjuang di bawah parti UMNO semuanya atas kemahuan dirinya sendiri.