Gaya Hidup
"Ada Macam Bomoh Ke?" - Datin Ira Ghani
Pelakon, pengacara dan pengasas produk kecantikan Aura Seri, Datin Ira Abd Ghani akui tidak mudah untuk menjadi pelopor jenama kosmetik tempatan yang sudah kekal selama 20 tahun.
Biarpun bermula dengan dunia pemasaran konvensional berbanding kuasa media sosial yang sering digunakan pengasas produk untuk menjadi viral kini, Datin Ira yang pernah membintangi beberapa drama seperti 7 Hari Mencintaiku, Kerana Anisa dan Menantu Ting Tong itu optimis dengan caranya tersendiri.
"Apa yang orang buat hari ni saya sudah lalu sebelum ini dan saya bersyukur menjadi pencetus revolusi perkataan 'aura' itu sendiri. Kalau dahulu, orang tak faham sampai ada yang cakap saya syirik, khurafat dan mengarut. Saya ni nampak macam bomoh ke? Tak ada pun...
"Tapi itulah, perniagaan saya lahir sebelum wujudnya media sosial. Pengalaman yang dilalui bukannya sedikit dan saya percaya zaman sekarang kuasa viral menjadi salah satu medium untuk lariskan jualan produk masing-masing.
"Untuk kekal lama gunalah cara yang positif, jangan semata-mata nak viral untuk lakukan produk selepas itu hilang! Jangan ikut viral tak senonoh, nanti produk itu akan dipandang rendah oleh masyarakat.
"Kalau ikutkan nak viral itu senang! Pegang batang lipstik lari tak pakai baju," kata Datin Ira membuka cerita.
Berbeza situasi produk tempatan dan luar negara, akui Datin Ira lagi, tempoh sekarang memerlukan pengasas produk untuk tampil ke hadapan dan menjadi 'role model' kepada pembeli.
"Di Malaysia orang nak kenal pengasas, jadi haruslah tampilkan diri dan bawa imej yang bersesuaian dengan produk sendiri. Kalau pengasas sendiri bawa perangan entah apa-apa, orang pun akan mudah mengata," tambahnya.
Oleh kerana itu juga, Datin Ira mengambil inisiatif untuk membangunkan usahawan baru dan memberikan latihan bersesuaian untuk mengembangkan perniagaan dengan lebih efisyen dan proaktif.
Bertindak sebagai pakar perunding bawah Majlis Amanah Rakyat (Mara) negeri Perlis, bekas hos rancangan Feminin itu punyai tanggungjawab besar.
"Selain kemunculan semula Aura Seri, saya banyak membangunkan usahawan dari Perlis dan Kuala Lumpur yang terdiri daripada pelbagai latar belakang bisnes seperti kosmetik, servis, makanan dan perkhidmatan.
"Saya bertindak memberikan mereka pendedahan untuk melebarkan perniagaan dan melahirkan usahawan berjaya menerusi modul teori dan praktikal selama 5 bulan.
"Menerusi program ini, saya bertanggungjawab untuk memastikan 10 'protege' ini kekal dan memiliki etika serta imej yang betul sebagai pengasas produk," tambahnya.
Di bawah Datin Ira yang bertindak sebagai konsultan, seramai 10 protege diletakkan menerusi program Hub Incubator MARA Perlis sejak Januari lalu.
Antara perniagaan yang terbabit ialah Tanda Cinta Surprise, Zeezza Beauty, Mys Miracle, Trendsetter Studio, Missty Quruz dan Forrvanz Rich Legacy.
Dalam perkembangan lain, Datin Ira yang juga pemegang Diploma Perubatan Alternatif dari Universiti Antarabangsa Culcatta, India merancang untuk mengembalikan nama Aura Seri dan merangka beberapa projek khas.
Must-Watch Video