Laman Utama

“Ada Sasaran Tapi Tak Pernah Terfikir Lebih RM90 Juta” - Penerbit Syukur, Tak Sangka Mat Kilau Jadi Fenomena

gempak
Mya Amri
07/08/2022
04:31 MYT
Sponsor Banner
“Ada Sasaran Tapi Tak Pernah Terfikir Lebih RM90 Juta” - Penerbit Syukur, Tak Sangka Mat Kilau Jadi Fenomena
Penerbit Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan, Abdul Rahman Mat Dali dari Studio Kembara Sdn Bhd melahirkan rasa syukur atas sambutan yang diberikan terhadap filem tersebut.
Menurut Rahman, pihaknya mempunyai sasaran kutipan tersendiri namun tidak menjangkakan Mat Kilau terus menjadi fenomena di Malaysia.
“Alhamdulillah memang sekarang ini jumlah kutipan melebihi RM90 juta dan terkini dapatlah lebih RM93 juta sebenarnya.
“Tak pernah terfikir boleh cecah RM90 juta. Syukur kepada Allah kerana hasilnya di luar dugaan. Kita menduga bahawa akan ada hasil yang bagus.
“Kutipan yang bagus sebab kami percaya filem ini sebuah filem yang bagus. Ahamdulillah, nampaknya lebih daripada ekspektasi yang kita jangka,” katanya kepada Gempak.
Paling manis, Mat Kilau juga berjaya mengalahkan deretan filem dalam kategori ‘All Time International Malaysia Box Office’ termasuklah The Avengers, Jurassic World, Spiderman dan Black Panther.
Kata Rahman, secara tidak langsung perkara itu menjadi pembakar semangat kepada mereka dan juga pengkarya industri untuk menghasilkan filem yang lebih bagus lagi.
“Syukur kerana Mat Kilau menjadi filem pertama mengalahkan Avengers dan lain-lain filem luar.
“Ini adalah satu ‘terobos psikologi’ yang menjadi tanda mercu industri filem tempatan dan merupakan suntikan keyakinan baru kepada kemajuan masa depan indistri perfileman.
“Terima kasih kepada para penonton dan juga segenap lapisan masyarakat yang memberikan sokongan kepada filem tempatan kita,” jelasnya.
Terdahulu, filem arahan Syamsul Yusuf ini berjaya mencatat kutipan RM1 juta ringgit di hari pertama tayangan menjadikannya filem epik pertama Malaysia memecah rekod kutipan hari pembukaan paling tinggi dalam sejarah.
Mat Kilau yang mula ditayangkan pada 23 Jun lalu ini dibintangi oleh Datuk Adi Putra, Fattah Amin, Beto Kusyairy, Johan Asaari, dan Wan Hanafi Su.
Selain Rahman yang juga merupakan Pengarah Urusan Studio Kembara, dua lagi adik-beradiknya iaitu Penerbit Eksekutif dan Penulis Skrip asal, Sharuddin Mat Dali serta Ketua Promosi dan Pemasaran, Ismail Mohd Dali adalah orang kuat di sebalik Mat Kilau.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Most Wanted Awards 2024