Laman Utama
"Ada Waktu Kami Akan Ke Dapur Masak Bersama-Sama" - Haqiem Rusli
Penyanyi Haqiem Rusli mendedahkan yang isterinya, Wan Anis Sofea Wan Zamzuri masih lagi belum berbadan dua.
Menurut penyanyi lagu Mimpi itu, dia dan isteri tidak merancang untuk memiliki cahaya mata, tetapi menerima jika diberikan rezeki dalam masa terdekat.
“Berkenaan dengan cahaya mata ni, masih belum ada rezeki. Kami masih merancang. Cuma kami tidaklah menolak rezeki. Tetapi saya dan isteri cuba untuk menikmati waktu yang ada untuk menambah keserasian.
“Contohnya, kalau ada waktu, kami akan ke dapur dan masak bersama. Perkara begini yang dapat mengeratkan hubungan.
“Sungguhpun usia saya baru 24 tahun manakala isteri pula 20, tetapi kami bersedia untuk lalui fasa bersama anak. Cuma tidak mahu tergesa-gesa. Biar relaks setahun lagi. Mungkin tahun depan sudah boleh berusaha ke arah itu,” katanya.
Haqiem juga memberitahu, dia sedang dalam proses untuk membiasakan diri menelusuri kehidupan sebagai seorang suami.
“Bila sudah berkahwin, kena pandai bahagi masa dengan isteri, keluarga dan juga kawan-kawan rapat.
“Isteri pula faham dan dia juga mempunyai masa yang diluangkan bersama kawan-kawannya,” ujar Haqiem lagi.
Dalam perkembangan lain, Haqiem dan Anis bakal terbang ke Turki selama dua minggu untuk berbulan madu.
“Sepatutnya bulan Mac hari tu kami sudah ke sana, tapi isteri pula dijangkiti COVID-19. Jadi ia ditunda. Selepas kahwin, kami hanya sempat ke Port Dickson saja," tutupnya.
Must-Watch Video