Suasana tenang ketika calon menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Soi bertukar kecoh apabila mereka menerima tetamu tidak diundang.

Tetamu tersebut merupakan seekor tapir yang hadir ‘menziarahi’ sekolah berkenaan, pagi semalam.

Menerusi laporan Bernama, Pengetua SMK Sungai Soi Zolkifli Abd Ghani memberitahu kejadian tersebut berlaku sekitar jam 10.30 pagi.

“Insiden ini bukan yang pertama, sudah banyak kali, kami cuma bimbang haiwan itu merayau di dewan peperiksaan yang akan mengakibatkan pelajar sedang mengambil peperiksaan Pendidikan Seni dan Sejarah terganggu dengan kehadirannya.

“Atas faktor itu pihak sekolah kemudian menghubungi Angkatan Pertahanan Awam (APM).

“Selepasa setengah jam, APM kemudian melakukan kerja-kerja mengeluarkan tapir yang terjatuh ke dalam longkang sekolah itu,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Pahang, Rozidan Md Yasin ketika berkata, anggota bertugas berjaya mengeluarkan haiwan yang dianggarkan seberat 200 hingga 250 kilogram itu enam jam kemudian.

“Tapir jantan dewasa itu dipercayai terjatuh ke dalam longkang di sekolah ketika memakan daun pokok nangka berhampiran.

“Terdapat luka di bahagian belakang tapir itu akibat menyusur blok simen sepanjang longkang berkenaan, bagaimanapun pemerhatian awal tiada kecederaan di bahagian kaki akibat terjatuh longkang.

“Kita akan berikan rawatan sekiranya kecederaannya tidak serius sebelum dilepaskan semula di kawasan hutan,” katanya.

Sumber : Bernama