“Adakala, memang saya kena tegur supaya semua faham sebab setiap apa yang kita lakukan tentu kena ada adabnya bukan?” tegas penyanyi tersohor negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza.

Siti Nurhaliza diminta mengulas mengenai isu segelintir pihak yang didakwa menyamar menjadi ahli kelab peminatnya Sitizonners dan cuba menjatuhkannya.

Luahan itu ditulis menerusi ciapannya di Twitter pada penghujung minggu lalu.

BACA: “Kepada Yang Menyamar Disebalik Sitizoners…”- Ada Pihak Nak Jatuhkan Siti Nurhaliza?

Menurut pelantun lagu Aku Bidadari Syurgamu itu beliau terpaksa membuka mulut menegur segelintir warganet yang dianggap keterlaluan dalam mengkritik hasil kerjanya.

“Ada masa saya perlu ingatkan mereka, tetapi tidaklah dengan cara yang kasar kerana memahami situasi semua pihak.

“Saya tahu ada pihak yang mengatakan mereka ahli Sitizoners tetapi sebenarnya tidak dan mengambil peluang atau platform itu untuk menghangatkan sesuatu isu atau keadaan,” jelasnya.

Siti ditemui di majlis pelancaran Wafer Emas Edisi Terhad Eksklusif Jubli Perak Datuk Seri Siti Nurhaliza bersama Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) pada Rabu.

Berkongsi mengenai kolaborasi bersama YaPEIM itu, kedua-dua pihak mencipta sejarah dengan memperkenalkan wafer emas 999 satu gram, lima gram dan dinar emas (4.25 gram).

"Keluaran YaPEIM Gold ini adalah langkah untuk menggalakkan masyarakat terutama dalam kalangan peminat saya untuk menjadikan wafer emas ini koleksi peribadi sekali gus mendidik masyarakat untuk menyimpan emas.

"Pihak YaPEIM mensasarkan jualan 30,000 keping bagi varian satu gram, manakala 3,000 keping bagi edisi satu dinar dan 3,000 keping bagi edisi lima gram secara pra tempahan," katanya.