HIBURAN
Adira Betulkan Salah Faham Isu Sangkar Kucing Sempit - "Saya Tidaklah Kejam..."
Penyanyi popular Adira Suhaimi tampil memberikan penjelasan selepas dikecam netizen berikutan perkongsian mengenai sangkar kucing yang didakwa terlalu kecil dan tidak sesuai dijadikan tempat tinggal haiwan.
Adira atau nama penuhnya Siti Adira Suhaimi, 34, menjelaskan bahawa sangkar tersebut bukan untuk kucing peliharaan miliknya, sebaliknya disediakan khusus untuk kucing jalanan yang sering datang berteduh dan makan di kawasan rumahnya.
“Kucing-kucing itu bukan kucing saya beli untuk pelihara, tapi itu kucing liar yang tiba-tiba datang makan dekat rumah saya. Abang saya pun penat buat sangkar kucing, memang tak besar tapi saya buat supaya mereka ada tempat tinggal,” jelas Adira dalam satu perkongsian di TikTok.
Menurut Adira, sangkar itu hanya digunakan pada waktu malam untuk memberi tempat tidur yang selamat buat si comel tanpa tuan.
Sepanjang siang, kucing-kucing tersebut tidak dikurung dan bebas bergerak di kawasan sekitar rumahnya.
“Waktu siang saya tak kurung pun, mereka bebas. Saya tak pernah tutup sangkar itu. Saya tak menganiaya, saya tidaklah kejam,” katanya lagi.
Ibu kepada empat cahaya mata ini turut berkongsi bahawa walaupun kucing-kucing tersebut bukan miliknya secara rasmi, dia tetap mengambil tanggungjawab menjaga kebajikan mereka.@adirasuhaimi.ami terima kasih sayang awak ❤️🤍❤️ @ohbulanofficial♬ Very Sad - Enchan
Ini termasuk menyediakan makanan setiap hari dan membawa ke klinik sekiranya ada yang sakit dengan kos yang bukan sedikit.
“Saya siapkan makanan kucing, sebulan dalam beratus ringgit juga habis. Kalau kucing-kucing itu sakit, saya bawa pergi ke klinik dan semua itu juga menelan kos beribu ringgit," tambahnya.
Terdahulu, video yang memaparkan sangkar kucing baharu di laman rumah Adira tular dan mendapat perhatian ramai.
Ada netizen mempertikaikan saiz sangkar yang dikatakan terlalu kecil serta tidak sesuai digunakan kerana terdedah kepada hujan dan panas, yang boleh menjejaskan kesihatan haiwan.
Tidak kurang juga yang secara terbuka menuduh Adira sebagai menganiaya dan bersikap kejam terhadap kucing-kucing tersebut.
Namun dengan penjelasan terbuka yang diberikan, ramai pengikut Adira kini tampil memberikan sokongan, menyifatkan tindakannya sebagai usaha mulia membantu haiwan terbiar mengikut kemampuan sendiri.
Mereka turut memuji Adira kerana sanggup berbelanja dan mengambil berat terhadap makhluk terpinggir tanpa sebarang kepentingan peribadi.
Must-Watch Video