Sekilas
- Seorang peminat sanggup melanggan semula Astro dan membeli televisyen baru demi menyokong kemunculan Mawi dalam Gegar Vaganza Fantasia (GVF).
- GV Fantasia musim ini menampilkan juara dan alumni Akademi Fantasia seperti Mawi, Vince, dan Stacy, dengan hos Nabil Ahmad, Jihan Muse, dan Sherry Al-Hadad.
- Program GV13 bersiaran setiap Ahad pukul 9 malam di Astro Ria dan boleh distrim melalui Astro GO dan Sooka selama 11 minggu.
Penangan bintang Gegar Vaganza Fantasia (GV Fantasia), Mawi sememangnya lain daripada yang lain apabila berjaya membuatkan seorang peminat sanggup untuk melanggan semula Astro setelah sekian lama tidak melakukannya.
Terbaharu, seorang individu berkongsi tindakannya yang merealisasikan hasrat bapanya yang mahu melanggan semula Astro kerana tidak mahu melepaskan peluang melihat kemunculan Mawi menerusi program GVF.
Menerusi Threads, individu berkenaan memaklumkan dia bukan sahaja melanggan Astro malah turut membelikan sebuah televisyen baharu buat bapa kesayangannya itu.
“Mawi punya pasal, terpaksa beli televisyen dan Astro baharu,” kongsinya.
Menerusi tangkap layar perbualan WhatsApp yang dikongsikan pula, dapat dilihat bapanya juga mengucapkan terima kasih kepada anak-anaknya atas pemberian berkenaan.
“Assalamualaikum. Terima kasih anak-anak ayah atas pemberian TV dan Astro baharu.
“Semoga dimurahkan rezeki dan dirahmati Allah. Amin,” tulis bapanya.
Individu tersebut kemudiannya mencuit hati ramai apabila berseloroh mengatakan bahawa langganan Astro mungkin akan dihentikan sekiranga Mawi tersingkir awal.
“Nanti lepas Mawi habis nyanyi, potong balik Astro.
“Kalau Mawi tersingkir lagi awal, awal kena cabut Astro,” tulisnya.
Untuk info, GV Fantasia musim ini menampilkan barisan juara serta alumni program Akademi Fantasia termasuk Mawi, Vince, Faizal, Shahir, Mila Jirin, Stacy, Zahid, Faizul Sany dan Firman Bansir.
Menambahkan lagi keterujaan musim ini, GV13 dikendalikan oleh trio hos kegemaran ramai iaitu Nabil Ahmad, Jihan Muse dan Sherry Al-Hadad.
Sementara itu, barisan juri masih mengekalkan tiga nama besar yang cukup dihormati dalam industri muzik iaitu Datuk Ramli MS, Hetty Koes Endang dan Datuk Syafinaz Selamat.
CelcomDigi pula merupakan penaja rasmi Gegar Vaganza Fantasia.
Berlangsung selama 11 minggu, GV13 bersiaran setiap Ahad, pukul 9 malam di Astro Ria (saluran 104) dan secara langsung dari Auditorium MBSA, Shah Alam.
Program ini juga boleh distrim menerusi perkhidmatan On Demand di aplikasi Astro GO dan Sooka.
Sumber: Threads