Bintang filem Misteri Dilaila, Datuk Rosyam Nor terkejut apabila mendapat kiriman foto menunjukkan troli daripada pasaraya miliknya dibawa masuk ke dalam gerabak LRT.

Insiden melucukan itu mulai viral sejak minggu lalu di media sosial sebelum sampai ke pengetahuan Rosyam.

"Aduh! Kenapa dengan troli aku kau angkut sekali," tulisnya menerusi entri di Instagram baru-baru ini.

Aduhhhh kenapa dengan troly aku kau angkut sekali

A post shared by Rosyam Nor (@iamrosyam) on


Pengikut Rosyam yang terhibur dengan gelagat orang awam yang bertindak sedemikian sempat melayangkan pandangan masing-masing.

"Tak dapat angkut tuan, troli pun jadi," tulis @rohaidahazida.

"Kat bengkel tayar pun saya pernah nampak troli Rosyam Mart. Punya jauh berjalan," tambah @fairoz87.

"Buat collection bang. Peminat tegar tu," sahut pengguna lain pula.

Selain itu, ada yang turut menasihati pelanggan dan orang awam agar menyemai kesedaran sivik untuk tidak lagi melakukan perbuatan memalukan sebegini.

Dalam perkembangan lain, filem Misteri Dilaila lakonan Rosyam yang telah berjaya mengutip RM8.8 juta masih ditayangkan di pawagam.

Rosyam mendukung peranan sebagai Inspektor Aman selaku pegawai yang mengendalikan kes misteri membabitkan sepasang suami isteri, Jefri (Zul Ariffin) dan Dilaila (Elizabeth Tan).

Namun, berlaku beberapa insiden yang membuatkan pelbagai kisah demi kisah dibongkarkan satu persatu.

Jangan lepaskan peluang menonton Misteri Dilaila di pawagam berhampiran anda!