Pelakon Aedy Ashraf terhibur apabila ada yang menyamakan pemain muda Kedah FA, Aiman Afif Md Afizul mirip wajahnya.

BACA: "Heri Bota Masuk Kedah?" - Ini Pemain Baru Kedah FA Mirip Aedy Ashraf, Jangan Duk Confuse!

Tidak menolak punyai sedikit persamaan, kata Aedy foto yang tular di Internet harap dapat menyuntik semangat kedua-dua belah pihak.

"Saya tengok adalah muka kami iras-iras sikit...

"Ia satu perkara yang baik juga dan saya harapkan kedua-dua pihak akan lebih dikenali dalam bidang masing-masing.

"Kami daripada dua bidang yang berbeza dan saya pun minat sukan bola sepak. Cuma dia pemain bola sepak profesional kalau nak bandingkan dengan saya.

"Semoga apa yang viral ini membuatkan dia lebih bersemangat untuk main bola selepas ini," katanya kepada Gempak.

Tambah Aedy, dia terkejut pada mulanya apabila ada beberapa akaun di media sosial menyamakan wajahnya dengan Aiman Afif.

"Saya bangun pagi tu tiba-tiba tengok ada ramai yang tag akaun saya, kata dari pelakon sekarang dah main bola.

"Daripada situ baru saya sedar orang bercakap tentang perkara itu. Saya gelak sajalah," tambah Aedy.

Dalam perkembangan terbaru, Aedy kini sedang giat mengusahakan perniagaan makanan berasaskan hidangan ayam, Thick Chick.

"Bermula sejak Ramadan lalu, perniagaan ini mendapat permintaan luar biasa daripada pembeli.

"Thick Chick merupakan hidangan inovasi baharu berasaskan ayam golek yang dipanggang yang lebih murah dan menyihatkan," ujarnya.

Thick Chick kini beroperasi di Podium Penchala dan turut dijual secara atas talian (online).