Laman Utama
“Aepul Menjadikan Karya Ini Lebih Baik…” – Margosa Pertaruh Single Baharu, Cinta Pasti Bersatu
Kumpulan Margosa mengakui kolaborasi bersama vokalis Drama Band, Aepul Roza menjadikan single baharu mereka, Cinta Pasti Bersatu lebih baik.
Vokalis Margosa, Resya Rahman berkata, dia juga tidak mempunyai kesukaran untuk mencari keserasian dengan Aepul.
Katanya lagi, lagu ciptaan Raja Nazrin Shah itu dilihat sebagai satu percaturan terbaik menggabungkan vokal wanita dan lelaki.
"Tidak sukar menggabungkan keserasian vokal saya dan Aepul. Awalnya, demo single ini agak berbeza berbanding sekarang.
"Namun, melodinya diperbetulkan dengan bantuan komposer, Afif untuk kedengaran lebih indah.
"Bekerja dengan Aepul, dia seorang yang fleksibel, profesional dan memberi input yang membantu.
"Aepul menjadikan karya ini bertambah baik, sekali gus memudahkan proses rakaman vokal," katanya yang memilih genre balada menerusi lagu Cinta Pasti Bersatu.
Resya menyifatkan, single Cinta Pasti Bersatu dikeluarkan tepat dengan situasi pandemik.
"Ia mengisahkan dua jiwa yang terpisah secara terpaksa. Karya ini agak santai dan mesra pendengaran.
"Secara keseluruhan, liriknya menceritakan perpisahan tidak diduga pada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan," katanya.
Bagaimanapun, Resya berkata, dia tidak meletakkan satu genre terhadap hala tuju muzik, sebaliknya ingin dikenali dengan corak karya menyentuh emosi.
"Single Cinta Pasti Bersatu menggambarkan hala tuju muzik dan identiti Margosa. Kami suka menitikberatkan elemen emosi dalam karya.
"Namun, kami bukannya band yang memperjuangkan satu genre sebagai hala tuju. Cuma, disebabkan single Cinta Pasti Bersatu berpaksi sedih, kami menyalurkan mesej dalam genre balada.
"Jika mendengar album terdahulu, ada lagu bukan berentak balada, namun mesejnya masih mendalam," kata Resya.
Sementara itu, Raja Nazrin Shah yang juga vokalis Sekumpulan Orang Gila berkata, mereka memang sentiasa mempelbagaikan rentak lagu dihasilkan.
"Tunjang utama setiap lagu dihasilkan adalah terus mengekalkan identiti Margosa.
"Sebelum ini, kami banyak bermain pelbagai genre muzik. Bagaimanapun, kami akan menerokai emosi muzik lebih variasi pada masa akan datang.
"Sekarang, pendengar lebih suka layan muzik menyentuh emosi," kata Raja Nazrin Shah.
Kumpulan Margosa dianggotai, Resya Rahman selaku vokalis, Raja Nazrin Shah (vokalis dan gitar) dan Pjay (bes).
Must-Watch Video