Pelakon, pengarah filem dan pelawak, Datuk Afdlin Shauki membangkang penutupan sementara Crackhouse Comedy Club yang selama ini menjadi pentas kecil bagi bakat baharu pelawak solo (stand up) beraksi.

Afdlin, 51, menerusi hantaran di Instagramnya memaklumkan kelab itu perlu terus beroperasi berikutan permasalahan berlaku membabitkan individu yang melakukan kontroversi dan tiada kena-mengena dengan tempat itu sebagai platform ketengahkan bakat.

"Saya membangkang sekeras-kerasnya penutupan sementara Crackhouse Comedy Club oleh kerana perbuatan seseorang yang bersalin pakaian atas pentas tempoh hari.

"Crackhouse merupakan tempat di mana banyak pelawak 'stand up' baru mempelajari seni ini.

"'Open mic' dibuka kepada amatur yang ingin mencuba 'content' mereka di khalayak ramai. Untuk 'check content' kita baik ke tidak bagi 'stand up' komedi, kita kena persembahkan komedi kita di depan orang ramai, baru kita tahu mana yang boleh pakai dan tak boleh pakai.

"Sama macam atlet yang kena berlatih sampai bagus. Takkan kita tutup 'swimming pool' pasal seorang peserta renang ambil steroid. Itu salah perenang, bukan salah swimming pool! #stendupbukabaju," tulisnya.

A post shared by Afdlin Shauki (@afdlinshaukiofficial)


Terdahulu, tular di media sosial paparan video berdurasi 54 saat yang menunjukkan seorang wanita tampil berpakaian sopan dalam satu acara komedi di sebuah kelab di Taman Tun Dr Ismail (TTDI) baru-baru ini.

Dalam video berkenaan, wanita itu mendakwa dirinya beragama Islam serta sudah menghafal 15 juzuk al-Quran, sebelum secara tiba-tiba dia menanggalkan baju kurung serta tudungnya hingga mendedahkan aurat.

Difahamkan juga selepas insiden kontroversi itu berlaku, pihak pengurusan Crackhouse terus membuat laporan polis di Balai Polis Taman Tun Dr Ismail (TTDI) serta mengeluarkan kenyatan rasmi memaklumkan individu terbabit kini dilarang daripada kembali ke Crackhouse.