Pelakon Afifah Nasir memaklumkan, dia masih lagi dalam perancangan untuk melangsungkan perkahwinan dan masih belum mempunyai tarikh bagi menjayakan hari bahagianya.

Katanya, hasrat di hati memang ingin menjayakan majlis pada kadar segera. Namun, segalanya terserah pada takdir dan ketentuan Allah.

“Kalau tanya saya, sudah tentu saya nak melangsungkan majlis perkahwinan secepat mungkin. Tapi kita hanya merancang, Tuhan yang tentukan.

“Maklumlah, saya sibuk sepanjang tahun inu sebab ada beberapa tawaran kerja yang saya sudah setuju daripada awal. Tak molek pula kalau cancel sebab nak kahwin. Persediaan nak kahwin pun ambil masa,” katanya kepada Gempak ketika ditemui pada majlis pengenalan koleksi pakaian pengantin Rizman Ruzaini semalam.

Afifah berkata demikian bagi menjawab dakwaan yang mengatakan dia bakal menamatkan zaman bujangnya pada tahun ini.

Afifah menambah, dia tidak mahu terlalu bercerita secara terbuka mengenai bakal suaminya demi menjaga dan menghormati privasi.

“Kalau boleh saya tak nak cerita terlalu banyak mengenai dia sebab dia bukan orang dalam industri. Tambahan pula dia sangat menjaga privasi.

“Sebab takut dia tak selesa… jadi, saya tak mahu terlalu mendedahkan mengenai dia kepada umum. Tapi, bila dah ada tarikh, saya takkan sembunyi sebab saya tahu, semua orang pun menunggu juga,” katanya.

Dalam pada itu, ditanya pula sama ada dia akan mengadakan majlis perkahwinan secara terbuka, Afifah berkata, lebih selesa untuk melangsungkannya secara tertutup.

Afifah merupakan salah seorang daripada beberapa selebriti yang memperagakan busana perkahwinan rakaan pereka junior di bawah Rizman Ruzaini, Akmal Hakim Ajirul.

Selain Afifah, selebriti lain yang terbabit sama adalah Sissy Iman, Nabila Razali, Azira Shafinaz, Hawa Rizwana, Shaza Bae, dan Siti Khadijah Halim.

Undi bintang digital dan content kegemaran Top 5 anda di Gempak Most Wanted Awards 2022 di sini.