Penyanyi kelahiran Indonesia, Agnes Monica memang sudah lama mengembangkan sayap kariernya di luar negara.

Agnes juga cukup popular di Amerika Syarikat dan telah berkolaborasi dengan beberapa rapper terkenal dari Hollywood, seperti Chris Brown dan Timberland bersama T.I menerusi lagu hitnya, Coke Bottle.

Walaupun banyak menghabiskan masa di AS dan aktif mempromosikan albumnya di negara tersebut, Agnes mengaku dirinya pernah mengejutkan pihak syarikat rakaman apabila enggan memberi kerjasama untuk menjalankan promosi di kelab kelab bogel.

Di AS, kata Agnes, melakukan promosi di strip club atau kelab bogel adalah normal bagi artis mereka.

Namun, Agnes yang kini berada di negara kelahirannya kerana pandemik COVID 19 berkeras untuk tidak melakukan promosi di kelab bogel kerana tidak mahu melanggar prinsip yang dipegangnya.

"Saya pernah ditawarkan untuk melakukan promosi album Overdose di tiga buah kelab bogel. Setiap promosi berdurasi hanya setengah jam.

"Setiap kemunculan, saya menerima bayaran $AS25 ribu atau RM100, 000 setiap satu kelab," akui Agnes sewaktu menjadi tetamu dalam saluran YouTube Daniel Mananta, Danial Mananta Network baru baru ini.

Walaupun bakal memperoleh sekitar RM300, 000 untuk satu malam pekerjaan, Agnes tidak terpengaruh dengan habuan yang menantinya.

Malah saat menjawab persoalan Danial yang terkejut dengan tawaran lumayan tersebut, Agnes mengaku tak perlu menyanyi sewaktu hadir ke kelab malam yang didatangi.

"Sebenarnya kalau datang pun bukan perlu menyanyi. Saya hanya perlu tampil sebagai selebriti, menyapa peminat di kelab dan okay, ini $25 ribunya," tambah Agnes.

Meski demikian, semua itu tidak membuatnya tamak. Kata Agnes dia tidak akan menggadaikan prinsip hidupnya hanya untuk karier yang sedang dijalani.

Lebih lanjut, perempuan berusia 34 tahun ini mengaku tidak mahu menyesal setelah melakukan hal yang membuat hari tuanya terganggu.

Penyanyi lagu Matahariku ini mengaku ingat Tuhan. Itu menjadi alasan mengapa dia menolak tawaran yang cukup lumayan tersebut.

"Hidup saya lebih bererti dari hanya karier. Saya perempuan. Saya akan menjadi seorang ibu pada suatu hari nanti.

"Saya ingat Tuhan. Malah sewaktu menolak tawaran ini saya langsung tak fikir bahawa akan rugi atau berasa sayang. Saya cuma memang cakap, 'maaf, saya tak boleh lakukan ini,'" katanya.

Tambah Agnes, walaupun dia menolak untuk mempromosikan produknya di kelab malam, namun dirinya tidak pernah menghakimi sesiapa yang berbuat demikian.

"Saya tidak menghakimi orang lain yang melakukan hal sedemikian (promosi) kerana itu tanggungjawab mereka bekerja dan tanggungjawab kepada Tuhan.

"Kita semua sudah dewasa dan saya tidak dalam posisi menghakimi sesiapapun. Cuma, itu bukan saya," katanya yang mengaku melakukan promosi di kelab malam adalah situasti biasa buat penyanyi di Hollywood.

Instagram: @agnesmo