Tonggak pertahanan Sabah, Mohd Rizal Mohd Ghazali menyerahkan kepada mahkamah untuk mengadili dan menegakkan keadilan susulan kes dengan teman wanitanya.

BACA: Didakwa Cederakan & Rosakkan Telefon Bimbit Kekasih, Pemain Sabah FC Mohd Rizal Mengaku Tak Bersalah

Menerusi laman Instagram miliknya, Rizal yang lebih mesra disapa Jai menjelaskan tidak mahu membuka aib wanita berkenaan walaupun dia mendakwa mempunyai banyak bukti.

"Jai ada banyak bukti, tetapi Jai tidak akan membuka aibnya, biarlah mahkamah mengadili dan menegakkan keadilan. Aib seseorang itu amanah," tulis Rizal di Instagram Story miliknya.

Isnin lalu, Rizal, 31, didakwa di Mahkamah Majistret atas tuduhan memukul teman wanita dan merosakkan telefon miliknya di sebuah bilik hotel, dua minggu lalu.

Mohd Rizal bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret, Zhafran Rahim Hamzah.



Mengikut pertuduhan, Mohd Rizal yang juga bekas pemain bola sepak kebangsaan didapati sengaja mendatangkan kecederaan dengan memukul Hani Farhana Hasrul Sani, 37, dan melakukan khianat merosakkan telefon bimbit milik mangsa dengan nilai kerugian RM4,500 di sebuah bilik hotel pada 7 Jun lalu.

Pendakwaan mengikut Seksyen 323 dan 427 Kanun Keseksaan masing-masing memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun, denda hingga RM2,000 atau kedua-duanya dan penjara maksimum tiga bulan atau denda atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.

Sumber: IGs Rizal, Berita Harian Online