Pelakon Zahirah Macwilson mengesahkan dia dan suaminya, Aiman Hakim Ridza serta anak mereka, Issac Raees bakal pulang ke Malaysia pada bulan hadapan.

Menurut Zahirah selepas lima bulan menetap di Perth, Australia, sudah tiba masanya untuk kembali bekerja.

“Buat masa ini kami belum menetapkan tarikh lagi bila hendak pulang ke Malaysia tapi apa yang saya boleh katakan tidak lama lagi. Ia dalam bulan hadapan.

“Aiman pun dah rindu nak kerja balik dan dia bakal memulakan penggambaran selepas Hari Raya ini.

“Tapi saya pula mungkin akan mengambil masa dalam dua tiga bulan lagi untuk bersedia dari fizikal dan mental sebelum mula bekerja,” katanya kepada Astro Gempak.

Zahirah berkongsi perkara tersebut ketika sidang media secara alam maya Filem Bulan & Pria Terhebat (BPT).
Zahirah dan Aiman berada di Perth pada Oktober lalu dan menyambut anak sulung mereka di sana.

Mengulas mengenai publisiti filem BPT yang kini sedang ditayangkan di Astro First, Zahirah memberitahu dia berasa agak sedikit sedih kerana tidak dapat turun padang untuk mempromosikan filem tersebut.

“Bila saya dapat tahu BPT ditayangkan di Astro First saya agak sedih sikit bila tidak dapat pergi mana-mana majlis atau aktiviti promosi secara fizikal.

“Bukan sahaja kerana saya jauh di Perth tetapi dengan situasi sekarang adalah lebih baik saya lakukannya menerusi sosial media.

“Tak sangka saya dapat banyak respon yang positif mengenai filem ini, mereka sangat memberi sokongan padu,” katanya lagi.

Filem bergenre aksi komedi itu sudah berada di panggung rumah anda, Astro First sejak 11 Mac.

Secara ringkas Bulan & Pria Terhebat arahan Ghaz Abu Bakar itu mengisahkan Bulan (Zahirah Macwilson) merupakan pelatih di dalam pasukan tentera khas Indonesia menyeludup masuk ke dalam sindiket pemerdagangan manusia bagi mencari adiknya, Melati yang telah diperdaya dan dibawa ke Malaysia untuk dijadikan gadis liburan.

Bulan bertemu Haris (Zizan Razak), seorang pemandu e-hailing yang prihatin dan sudi membantu Bulan mendapatkan kembali adiknya dari genggaman bapa ayam, Agus dan ketuanya, Ricky. Ricky mengarahkan Tony, seorang pembunuh upahan untuk menghapuskan Bulan dan Haris.

Jangan lupa saksikan filem Bulan & Pria Terhebat di Astro First. Untuk melanggan sila ke saluran 480 atau anda juga boleh strim di Astro Go atau On Demand.

Dengan hanya RM15, anda boleh menonton selama 48 jam (2 hari) secara berulang-ulang. Ikuti info dan klip-klip menarik tentang filem ini menerusi akaun Instagram, Facebook, Twitter Astro Shaw.